Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) melahirkan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan buku teks.
Presiden NUTP Kamarozaman Abd Razak berkata guru-guru akan mengalami kesukaran untuk mengajar sekiranya masalah tersebut tidak diatasi.
“Yang penting ada buku, kita mengajar, yang kita risau tak ada buku.
“Sekarang buku teks kurang, kita minta kementerian bagi secukupnya pada sekolah dan lebihkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Kod Etika Ibu Bapa dan Penjaga di Wisma NUTP di Segambut, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Kamarozaman (gambar) diminta menyatakan pendirian NUTP berhubung tindakan kerajaan yang dikatakan menggantikan buku teks bahasa Inggeris keluaran syarikat tempatan dengan yang diimport dan dibuat untuk pelajar Sepanyol.
Sebelum ini Jurucakap Parlimen DAP untuk pendidikan, sains dan teknologi Zairil Khir Johari berkata, isi kandungan buku teks import itu tidak sesuai untuk pelajar Malaysia kerana semua rujukannya dikaitkan dengan budaya barat dan Eropah, tanpa sebarang kandungan tempatan.
Beliau memberi contoh dalam buku teks Pulse 2 untuk pelajar tingkatan 1.
Mengulas lanjut Kamarozaman berkata pihaknya menerima buku teks berbahasa Inggeris dari luar negara kerana dapat membantu murid untuk faham.
“Kita kena lihat, murid perlu cara mudah faham bahasa Inggeris. Ada beberapa negara yang ada cara (mudah untuk faham).
“Kita nak bagaimana murid tahun 2050, dia boleh berbahasa Inggeris ataupun berbahasa ketiga supaya dia lebih cepat. Murid sekarang berbeza, sebab itu buku ini berbeza, sebab buku ini dari Sepanyol kan,” katanya.
