Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA: DAP hanya pelakon tambahan
Diterbitkan:  Jan 9, 2018 6:52 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Presiden MCA Liow Tiong Lai berkata pengagihan kerusi pilihan raya yang diputuskan Pakatan Harapan (HARAPAN) menunjukkan bahawa DAP diketepikan dalam pakatan pembangkang itu.

Liow membandingkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mendapat paling banyak kerusi mengatasi parti-parti lain dalam HARAPAN meski merupakan parti terakhir menyertai pakatan itu.

“Berdasarkan pengagihan kerusi pilihan raya HARAPAN, jelas menunjukkan BERSATU yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad mengatasi parti lain dalam meneraju pakatan pembangkang itu.

“DAP yang berada di tempat ketiga (dalam jumlah pengagihan kerusi HARAPAN), hanyalah pelakon tambahan.

“Apabila BERSATU yang merupakan parti terakhir menyertai HARAPAN yang mendapat paling banyak kerusi sementara DAP hanya mendapat 35, ini menunjukkan DAP dipinggirkan tanpa sebarang kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Liow berkata demikian sebagai mengulas keputusan HARAPAN menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dalam konvensyen pakatan pembangkang itu Ahad lalu.

Dalam konvensyen itu, HARAPAN turut mengumumkan pengagihan kerusi antara parti komponen yang menyaksikan BERSATU mendapat 52 kerusi, PKR 51 kerusi, DAP 35 kerusi, sementara Parti Amanah Negara (AMANAH) mendapat 27 kerusi.

Beri pengajaran

Menurut presiden MCA itu, DAP telah mengkhianat kepercayaan yang diberikan pengundi Cina sejak dua PRU lalu kepada mereka kerana bekerjasama dengan Dr Mahathir.

Justeru, beliau menggesa agar pengundi Cina memberi pengajaran kepada veteran DAP Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“DAP tidak seharusnya mengambil mudah dengan terus-terusan merampas pendapat awam dan berpura-pura berjuang untuk demokrasi namun bertindak sebaliknya.

“Kita harap semua warga Cina di Malaysia akan menegakkan keadilan dan memberi pengajaran kepada Lim Kit Siang dan anaknya Guan eng dalam PRU akan datang,” katanya.

Liow menambah, veteran DAP Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng telah berubah sejak sepuluh tahun lalu.

“Mereka lupa bahawa orang yang dulu mereka gelar tirani dan tuduh merosakkan sistem demokrasi negara, namun Dr Mahathir kini menjadi penyelamat mereka,” katanya.

Presiden MCA itu turut mendakwa HARAPAN tidak berjuang untuk demokrasi namun sebaliknya hanya mahu menjatuhkan dan seterusnya menumpukan kuasa eksekutif negara kepada keluarga Dr Mahathir, Anwar dan Lim Kit Siang.

Ketika Dr Mahathir dan Anwar berkuasa, kata Liow lagi, kedua-dua pemimpin itu menyukarkan masyarakat Cina dari segi pendidikan dan perniagaan kerana cenderung mengutamakan kepentingan kaum Melayu sahaja.

“Hari ini, Dr Mahathir berkata dakwaannya bahawa 'Anwar secara moral tidak sesuai jadi perdana menteri' sudah menjadi sejarah.

“Semua ini menunjukkan bahawa Guan Eng, Anwar dan Mahathir mempunyai satu persamaan, mereka menghalalkan cara demi matlamat mereka.

“Namun dalam politik, kesalahan yang dilakukan hanya menyebabkan lebih banyak mudarat dan tidak akan membetulkan keadaan. Reformasi sudah berlanjutan selama 20 tahun, dan atas nama rakyat juga sudah disalahgunakan selama itu,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS