Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan arah Malaysiakini bayar RM350,000
Diterbitkan:  Jan 11, 2018 2:45 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini mengarahkan Malaysiakini membayar ganti rugi bernilai RM200,000 kepada syarikat Raub Australian Gold Mine (RAGM).

Perintah berkenaan diputuskan tiga hakim yang bersidang dan mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini terkhilaf kerana mengetepikan tuntutan RAGM itu.

Ketua panel hakim itu, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, turut membenarkan satu injunksi terhadap penerbitan tiga artikel dan dua video sebagai fitnah.

Mahkamah kemudian mengarahkan Malaysiakini membayar RAGM - yang diwakili Cecil Abraham - sejumlah RM150,000 sebagai kos perundangan walaupun peguam portal terbabit James Khong dan Syahredzan Johan berhujah RM80,000 adalah memadai.

Dua lagi peguam yang mendengar permohonan itu ialah Datuk Mary Lim dan Datuk Suraya Othman.

Dalam penghakiman sebulat suara itu, Suraya menggambarkan laporan serta video diterbitkan Malaysiakini mengenai lombong emas didakwa menjejaskan penduduk Bukit Koman di Pahang itu sebagai melulu dan bersifat merosakkan.

Beliau juga mengambil perhatian bahawa, walaupun mahkamah tinggi sebelum ini mendapati laporan terbabit bersifat fitnah, hakim menerapkan keistimewaan pembelaan yang memenuhi syarat dan mematuhi "pembelaan Reynolds" dalam amalan kewartawanan yang bertanggungjawab demi kepentingan awam.

Laporan mesti seimbang

Pembelaan Reynolds merujuk kepada perbicaraan saman pemimpin Ireland terhadap akhbar The Times yang menyiarkan laporan tokoh terbabit mengelirukan parlimen. Kes itu diputuskan mahkamah United Kingdom pada 1999.

Ia melibatkan hak perlindungan ke atas wartawan yang bertanggungjawab menyiarkan sesuatu dakwaan walaupun pada akhirnya didapati silap, demi kepentingan masyarakat.

Mahkamah kemudian boleh menyiasat amalan penerbitan berkenaan.

Walaupun Mahkamah Rayuan mengakui isu dibangkitkan Malaysiakini dalam laporan itu melibatkan kepentingan awam, Suraya berkata, mahkamah tinggi terkhilaf dalam pertimbangannya berhubung "pembelaan Reynolds".

Beliau juga mendapati mahkamah tinggi melakukan kesilapan dalam undang-undang semasa mempertahankan laporan terbabit.

"Laporan mesti seimbang dan bukan sepihak.

"Setelah membaca artikel tersebut dan melihat laporan serta video mengenainya, responden hanya menimbulkan kenyataan komuniti Bukit Koman saja," katanya.

Laporan itu, katanya, tidak menyertakan pandangan balas Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Tanah dan Galian.

"Ini adalah sikap cuai oleh responden (Malaysiakini) kerana Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan sianida bukan menjadi punca (masalah kepada penduduk terbabit). Ia sangat jelas," katanya.

Suraya juga mempertikaikan cara laporan itu yang dianggapnya bersifat tuduhan dan tidak seimbang serta tidak adil.

"Tiada permohonan maaf atau penarikan balik oleh responden," katanya dan menambah keadaan itu tidak boleh bergantung kepada aspek kewartawanan bertanggungjawab sebagai pembelaan.

Seru sokongan pembaca

Suraya berkata lagi hakim mahkamah tinggi juga gagal menghargai dengan sewajarnya hak keistimewaan pembelaan.

"Dengan ini rayuan RAGM dibenarkan," katanya.

Selepas perbincangan singkat sesama hakim mahkamah menetapkan kos guaman sebanyak RM150,000 diberikan kepada syarikat perlombongan berkenaan.

Pada 23 Mei 2016 Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rosnani Saub menolak permohonan RAGM ke atas Malaysiakini serta tiga defedan lain yang menjadi anggota sidang pengarang portal berkenaan.

Penduduk Bukit Koman mendakwa penggunaan bahan kimia mengandungi sianida bagi menggali emas di kawasan perlombongan terbabit menjejaskan kesihatan mereka.

Sementara itu Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan berkata keputusan mahkamah hari ini adalah langkah ke belakang bukan saja kepada wartawan portal terbabit tetapi semua wartawan di negara ini.

"Kami kecewa Mahkamah Rayuan menolak keputusan mahkamah tinggi yang sebelum ini memihak kepada Malaysiakini.

"Wang RM350,000 itu adalah banyak dan kami menyeru pembaca serta penyokong supaya bermurah hati menyumbang kepada Tabung Pembelaan Malaysiakini," katanya.

Gan juga menambah Malaysiakini bercadang untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas ini.

Dia juga berterima kasih kepada Khong dan Shahredzan kerana mewakili Malaysiakini secara pro bono sama ada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atau Mahkamah Rayuan.

Berikut adalah butiran mengenai dana berkenaan:
Tabung Pembelaan Malaysiakini Fund
Mkini Dotcom Sdn Bhd
Nombor akaun: 5142 5351 6714 (Maybank)
Kod SWITF: MBBEMYKL
Alamat bank: Dataran Maybank, Tingkat 1 Menara A, Dataran Maybank, 59000 Kuala Lumpur.

[Baca berita asal]

ADS