Setelah satu kenyataannya disifatkan sebagai "serabut" oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib pula berkata Menteri Besar Kelantan itu sendiri mungkin dalam keadaan "serabut" akibat kesibukan tugas.

"Mungkin sebab banyak kerja (dan) saya pula ganggu dia. Tetapi bukan niat saya ganggu dia, saya cuma nyatakan pendirian Dewan Ulama PAS," katanya kepada Bernama hari ini sebagai merujuk kepada pendirian dewan itu yang tidak bersetuju Kerajaan Kelantan menjemput juara Akademi Fantasia 3, Mawi, mengadakan persembahan di Kota Baharu pada 30 September ini.

Ekoran pendirian Dewan Ulama itu, Nik Aziz semalam menyifatkan kenyataan Harun itu sebagai "serabut" dan mengelirukan.

"Saya tak serabut. Jika kerajaan Kelantan tetap dengan pendirian ingin membawa Mawi ke Kelantan untuk membuat persembahan, itu dia (kerajaan Kelantan) punya pasallah," kata Harun.

Beliau berkata, Dewan Ulama tetap dengan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan Kelantan itu.

Bagaimanapun, katanya, Dewan Ulama tidak akan membantah sekiranya Kerajaan Kelantan terus dengan keputusan mengundang Mawi kerana itu adalah urusan kerajaan negeri.

Hiburan alternatif

"Kenyataan saya bukannya bersifat peribadi tetapi pendirian rasmi Dewan Ulama PAS. Kami bukan bantah, tetapi tidak bersetuju," kata Harun.

Katanya, Dewan Ulama bersetuju dengan usaha kerajaan Kelantan untuk mewujudkan satu bentuk hiburan alternatif asalkan ia berlandaskan syariat Islam.

Bagaimanapun, beliau berkata Mawi bukan seorang penyanyi hiburan Islam sebenar tetapi produk satu rancangan realiti televisyen yang jelas menyimpang daripada ajaran Islam.

Harun berkata, keputusan menjemput Mawi mengadakan persembahan di Kelantan adalah urusan kerajaan negeri itu dan bukannya dibuat oleh PAS pusat.

Kerajaan Kelantan telah menjemput Mawi mengadakan persembahan di Kelantan pada 30 Sept ini pada Konsert Tautan Kasih di Stadium Sultan Mohammad IV sempena pengisytiharan Kota Baharu sebagai Bandar Raya Islam pada 1 Oktober ini.