Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN bakal lancar manifesto PRU
Diterbitkan:  Jan 13, 2018 11:27 AM
Dikemaskini: 4:23 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) akan terus membina naratif yang betul khususnya kepada rakyat Johor mengenai perjuangan untuk reformasi, keadilan, keterangkuman semua pihak, progresif dan sederhana, sebagaimana tawaran manifesto gabungan itu, kata Ketua Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

"Naratif ini terbina dengan baik dalam Manifesto HARAPAN yang telahpun diumumkan peringkat demi peringkat dan manifesto setebal 88 halaman itu akan diumumkan dalam masa yang terdekat.

"Risalah penuh harapan ini ditulis selepas kajian teliti dan melibatkan semua pihak berkepentingan di Malaysia.

"Ia memiliki 5 tema, 10 janji HARAPAN dalam masa 100 hari pertama pentadbirannya dan 50 janji dalam masa 5 tahun pentadbiran HARAPAN.

Rais (gambar) berkata manifesto itu memberi keutamaan terhadap masalah rakyat dan agenda reformasi negara.

Beliau berkata demikian dalam suatu kenyataan media sebagai memberi maklum balas terhadap laporan berkenaan suatu kajian yang menyebut ketakutan meluas terhadap DAP di kalangan pengundi Melayu Johor menyukarkan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan datang.

Menurut Rais hasil sesuatu kajian itu bergantung pada kaedah penyelidikannya, manakala sesuatu kajian itu pula boleh digunakan untuk mentafsir sesuatu isu tetapi tidak boleh digeneralisasikan.

"Kita mesti merangka naratif tawaran kita kepada rakyat dan tidak terperangkap dengan permainan politik perkauman dan agama Umno-BN.

"Mereka boleh jadi pemecah-belah seperti pilihan raya umum sebelum ini, tetapi kami akan menjadi tenaga penyatu rakyat yang akan mencetuskan gelombang kebangkitan tsunami rakyat terhadap Umno/BN.

"Ia bukan tentang HARAPAN lawan Umno/BN. Tetapi ia tentang rakyat lawan Umno/Bn," kata Rais.

Beliau juga berkata memburuk-burukkan DAP memang menjadi kaedah kempen Umno BN bila mana PRU datang.

"Mereka menghabiskan sumber untuk menjadikan DAP sebagai 'hantu'.

"Tetapi masalah sebenarnya adalah Umno BN. DAP tidak memberikan skandal seperti 1MDB, Felda dan MARA.

"Rakyat telah sedar hal ini," kata beliau.

Suatu kaji selidik menerusi panggilan telefon di kalangan 1,100 responden Melayu di negeri itu antara Mei dan Jun 2017 mendapati 85 peratus orang Melayu Johor tidak berpihak kepada DAP, kata penganalisis Wan Saiful Wan Jan dalam satu kertas kerja yang diterbitkan oleh Iseas Institut Yusof Ishak Singapura.

Kekuatan DAP Johor merujuk kepada 13 kerusi di Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, yang tertinggi di kalangan parti pembangkang.

BERSATU yang merupakan parti serpihan Umno, hanya mempunyai satu kerusi negeri di Johor.

Dalam kaji selidik telefon yang sama yang dijalankan oleh Iseas Institut Yusof Ishak yang melibatkan responden bukan Melayu, keadaan itu kelihatan jelas tidak menyebelahi BERSATU.


 

Lihat Komen
ADS