Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Calon PM: PAS tunggu 'isteri mengandung dulu'
Diterbitkan:  Jan 17, 2018 5:49 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti Islam itu tidak menamakan calon perdana menteri kerana menganggap ia terlalu awal untuk berbuat demikian.

Walaupun PAS mempunyai calon yang sesuai untuk dinamakan sebagai perdana menteri, namun untuk mengumumkannya sekarang, Mohd Amar menganggap ia umpama 'isteri belum mengandung, tetapi bising dengan nama anak'.

"Sekarang terlalu awal (untuk umum calon perdana menteri) sebab pilihan raya pun tak berlangsung lagi. Sebab itu kita tak terlalu nak menamakan calon perdana menteri.

"Kalau saya, saya buat ibarat, isteri belum mengandung, bising dengan nama anak. (Sepatutnya) biarlah mengandung dulu.

"Sekarang parlimen tak bubar lagi dan tak tahu berapa kerusi akan dapat tapi insya-Allah (PAS) ada calon sesuai," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan berhubung kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai calon perdana menteri daripada PAS.

Selain itu ditanya tentang siapa calon perdana menteri pilihan PAS, Mohd Amar berkata parti Islam tersebut tidak memilih Najib mahupun Mahathir.

"Kami tak akan pilih dua-dua (Mahathir atau Najib), Tun pun kita tak sokong jadi perdana menteri, Najib pun kita tak pilih.

"Sebab dua-dua ada rekod dan masalah tersendiri," katanya lagi.

Kuasa tawar-menawar

Mengulas mengenai sasaran 40 kerusi parlimen oleh PAS, timbalan menteri besar Kelantan itu menjelaskan ia cuma sasaran minimum parti.

Jelasnya, ramai penganalisis berpendapat, pada Pilihan Raya Umum Ke-14, tiada parti yang akan mendapat kerusi dominan.

Justeru, PAS mensasarkan minimum 40 kerusi parlimen sebelum sesebuah kerajaan itu ditubuhkan bagi memboleh parti Islam itu mempunyai kuasa tawar-menawar.

"40 kerusi itu sasaran minimum sebab untuk tubuh kerajaan, paling minimum jangan kurang daripada 40 kerusi. Bila (menang) 40 kerusi akan ada kuasa tawar-menawar.

"Macam berniaga kita ada sasaran untuk minimum keuntungan dan maksimum keuntungan supaya tak hilang modal. 40 kerusi bukan sasaran utama tetapi supaya kita ada kuasa tawar-menawar yang kuat," ujarnya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menjangkakan tiada satu parti politik yang akan dapat kerusi cukup dalam pilihan raya umum akan datang untuk membentuk kerajaan.

Sehubungan itu, menurut Abdul Hadi, sekiranya PAS mendapat 40 kerusi, ia menjadikan parti berkenaan sebagai tempat kebergantungan parti lain yang ingin menubuhkan kerajaan.

 

Lihat Komen
ADS