Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim: SPRM amal dwistandard
Diterbitkan:  Jan 21, 2018 1:29 PM
Dikemaskini: 5:38 AM

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengambil tindakan berhubung "maklumat palsu" membabitkan dakwaan sogokan dalam projek terowong dasar laut di negeri itu.

"Apa yang mengganggu adalah SPRM secara pasif membenarkan kebocoran maklumat palsu berlaku tanpa sebarang tindakan.

"Siasatan, walaupun (berdasarkan) maklumat palsu, tidak sepatutnya didedahkan dan diterbitkan dalam akhbar agar tidak menjejaskan penyiasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim menegaskan SPRM bertindak pantas dalam isu kebocoran maklumat membabitkan dakwaan salah laku Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin (gambar) dalam skandal perumahan di Johor.

Menggambarkannya ia sebagai dwistandard, Lim berkata tindakan tidak bertanggungjawab SPRM dalam kes itu akan menghakis keyakinan terhadap kredibiliti dan integriti agensi berkenaan.

"Kegagalan berterusan SPRM bertindak terhadap laporan palsu oleh media BN hanya akan menimbulkan tanggapan bahawa siasatan bermotivasi politik, terutamanya dalam kehangatan pilihan raya umum," katanya.

Semalam media memetik sumber tanpa nama melaporkan sogokan diberikan kepada "ahli politik utama" dalam projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Maklumat tersebut yang dikatakan berdasarkan "penemuan awal siasatan SPRM," turut mendakwa ahli politik menerima antara "puluhan ribu dan beberapa juta ringgit" bagi kerjasama mereka.

Lim terdahulu menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai "pembohongan terdesak,".

Bagaimanapun beliau berkata tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang kerana tiada individu dinamakan secara langsung.

Dalam kenyataannya hari ini, ketua menteri itu menjelaskan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak boleh menyaman fitnah memandangkan hanya individu boleh melakukannya.

"Adakah akhbar-akhbar BN berani mencetak nama-nama ahli politik utama yang terlibat, supaya kerajaan negeri Pulau Pinang boleh mengambil tindakan undang-undang untuk melindungi reputasi mereka," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS