Paling Popular
Terkini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyangkal dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa mereka mengamalkan dwistandard dalam isu kebocoran maklumat kes projek terowong dasar laut negeri itu.

"Kami tidak pernah mengamalkan dwistandard, kami bersikap profesional dalam menjalankan tugas," kata Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki, di Putrajaya hari ini.

Semalam, Lim mempersoalkan mengapa SPRM tidak mengambil tindakan berhubung kebocoran "maklumat palsu" berkaitan dakwaan sogokan dalam projek terowong dasar laut.

Beliau yang juga setiausaha agung DAP menyifatkannya sebagai dwistandard memandangkan SPRM segera bertindak dalam kes kebocoran maklumat berkaitan dakwaan kaitan Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin dalam skandal hartanah.

Azam berkata SPRM akan menyiasat kebocoran maklumat siasatan projek terowong dasar laut itu.

"Saya akan melihatnya, kerana bukan semua maklumat itu benar. Tetapi kami akan lihat, kami ada cara untuk menilai dan menapis maklumat.

"Kita akan lihat dari setiap sudut, semua maklumat yang diberi, semua yang disebarkan melalui media sosial atau media arus perdana," katanya.

Pada 20 Januari lalu, akhbar arus perdana menyiarkan laporan yang memetik sumber mendakwa ahli politik yang disyaki "menerima habuan tinggi mencecah jutaan ringgit" dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Menurut laporan akhbar milik Umno itu, sumber tidak bernama itu berkata ia berdasarkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau enggan mengulas berhubung dakwaan ada ahli politik yang menerima sogokan dalam projek itu.

"(Dakwaan) itu dalam surat khabar. Bagi pihak kami, siasatan sedang berjalan dan kami akan siasat semua pihak yang terlibat menerima apa jua bentuk sogokan.

"Jadi saya tak mahu namakan sesiapa, sama ada ahli politik atau bukan," katanya.

Azam juga memaklumkan yang SPRM setakat ini telah mengambil 76 keterangan saksi dan lebih ramai lagi yang akan dipanggil.

"Dan saya tak akan nafikan yang akan ada lagi tangkapan, saya cuma tak mahu timbulkan spekulasi bila dan siapa," katanya lagi.

Katanya lagi, siasatan kes itu masih jauh daripada selesai dan akan mengambil masa sebelum kertas siasatan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara.

Lihat Komen
ADS