Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib akui memang ada kegagalan dalam 1MDB
Diterbitkan:  Jan 23, 2018 5:29 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mengakui ada kegagalan dan kelemahan dalam tadbir urus berkaitan dengan 1MDB tetapi mendakwa beberapa pihak yang mahu mensabotaj ekonomi negara demi kepentingan politik cuba memperbesar-besarkan isu itu.

Bercakap pada InvestMalaysia 2018 di Kuala Lumpur hari ini, Najib berkata 1MDB dicabar dengan begitu kuat dan dijadikan senjata untuk membuktikan kononnya ekonomi Malaysia mengalami keruntuhan.

Beliau kemudiannya menggariskan langkah-langkah yang diambil untuk membetulkan masalah berkenaan dan menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembangkang sebagai sasarannya.

"Tetapi seperti yang kita pelajari mengenainya, jadi kita juga telah belajar daripada kesilapan lalu," katanya jelas merujuk isu-isu yang melanda pentadbiran Dr Mahathir seperti skandal pertukaran asing Bank Negara (forex).

Najib berkata , beliau mengakui terdapat alasan yang sah untuk dikhuatiri.

“Saya tidak mengketepikan isu ini begitu sahaja. Memang ada kegagalan dalam syarikat ini, kelemahan tadbir urus. Memang ada asas yang menimbulkan kebimbangan.

“Disebabkan itu saya telah mengarahkan siasatan yang paling komprehensif dan terperinci dilakukan dalam sejarah korporat Malaysia, siasatan yang melibatkan pelbagai pihak berkuasa termasuk jawatankuasa parlimen dianggotai parti kerajaan dan pembangkang.

“Dapatan siasatan mereka turut diambil kira – lembaga pengarah syarikat dibubar, pasukan pengurusannya ditukar dan operasinya dikaji semula,” katanya.

Najib juga menarik perhatian bahawa 1MDB telah menyusun semula asetnya, dan dengan hasil itu, ia mengambil pendekatan agresif untuk mengurangkan hutang kepada tahap paling rendah.

"Syarikat itu menumpukan kepada usahanya bagi memastikan dua aset yang paling berharga - Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange - kekal sebagai cadangan pelaburan yang menarik kepada pemegang saham dan pelabur,” kata Najib.

Kemelut 1MDB dan susulan pelbagai siasatan di beberapa negara menyaksikan desakan semakin kuat mahu Najib meletakkan jawatan. Dr Mahathir juga secara terbuka menuduh perdana menteri menyelewengkan dana daripada firma itu apabila sejumlah wang yang besar dijumpai berada di akaun bank peribadi perdana menteri.

Tetapi Najib menafikan menyalahgunakan sebarang dana awam untuk keuntungan peribadi dan mendakwa mereka yang membuat tuduhan berkenaan berkomplot untuk menjatuhkannya.

[Baca berita penuh]

 

 

Lihat Komen
ADS