Isteri aktivis Perlis Hope Amri Che Mat, Norhayati Ariffin hari ini mengaku bahawa dia sendiri kurang pasti dengan makna kahwin mutaah.
Kahwin mutaah yang sering dikaitkan dengan mazhab Syiah merupakan perkahwinan dengan tempoh tertentu tanpa memerlukan wali atau saksi nikah.
Walaupun mengetahui kahwin mutaah merupakan perkahwinan kontrak, namun Norhayati berkata dia tidak tahu berkenaan kontrak yang diperlukan bagi perkahwinan berkenaan.
"Saya tak pasti apa itu mutaah sebab tak ada kaitan dengan saya. Yang saya tahu nikah kontrak, itu sahaja.
"Saya hanya tahu mutaah nikah kontrak, saya tak tahu apa kontrak itu," katanya ketika inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan Amri.
Norhayati berkata demikian sebagai menjawab soalan peguam berhubung dakwaan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mendakwa Amri mengamalkan kahwin mutaah.
Dalam video yang dikongsi di Facebook sebelum ini, Mohd Asri mendakwa beliau dimaklumkan sendiri oleh Amri bahawa aktivis berkenaan mengamalkan kahwin mutaah.
Mohd Asri bagaimanapun tidak menceritakan secara lanjut mengenai perkara berkenaan.
"Saya tanya dan dia beritahu, memang dia mengamalkan (kahwin) mutaah dengan beberapa gadis dan wanita di Perlis. Mutaah diamalkan.
"Ini sudah serius," katanya ketika menyampaikan tazkirah di sebuah masjid di Perlis malam tadi.
Tidak dimaklumkan
Sementara itu, menjawab soalan peguam K Muthiah, Norhayati juga memberitahu dia tidak dimaklumkan sebarang perkara berkaitan kahwin mutaah selepas Amri berjumpa dengan Mohd Asri.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada Amri pernah berkahwin lain, Norhayati mengesahkan perkara itu dan mendakwa perkahwinan berkenaan hanya bertahan selama kira-kira tiga tahun.
Norhayati turut mengakui mereka mempunyai empat orang anak angkat perempuan berumur antara 16 hingga 20 tahun dan pernah menghantar mereka belajar di luar negara termasuk di Iran untuk belajar jurusan bahasa Parsi.
"Pernah ada bekas isteri. Banyak tahun, lebih tiga tahun mungkin," katanya yang turut memberitahu anak angkatnya belajar di Iran kerana ditawarkan biasiswa.
Pada 22 Jan lalu, Norhayati tampil sebagai saksi pertama bagi inkuiri Suhakam berhubung kehilangan beberapa aktivis termasuk suaminya sekitar penghujung 2016 dan awal 2017.
Spekulasi mengaitkan kehilangan Amri dengan penglibatannya dalam ajaran Syiah dan penyebaran mazhab itu.
