Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Mengapa jadi Syiah dianggap bahaya?'
Diterbitkan:  Jan 25, 2018 12:41 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Kumpulan Sunni dan Syiah berperang, saling berbunuhan atau berseteru antara satu sama lain di seluruh dunia kerana mereka gagal memahami betapa sia-sianya menggunakan kuasa dalam isu akidah.

Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata ketika perbalahan itu berlanjutan, dunia terus diperintah oleh kapitalis, Yahudi, komunis dan ateis.

Kata Zaid, perbalahan antara fahaman itu tidak sepatutnya berlaku dan boleh diselesaikan melalui "pendidikan yang betul".

"Mereka berpendapat dengan menggunakan undang-undang, mereka boleh mengalahkan ajaran yang tidak diingini kumpulan lain.

"Justeru perselisihan dalaman (antara Sunni dan Syiah) berlanjutan, sama seperti ketaasuban mengenai tafsiran yang betul, dan keganasan menjadi tidak berkesudahan," katanya melalui kemas kini blog beliau hari ini.

Zaid yang juga seorang peguam mengulas pandangan diberi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai ajaran Syiah.

Pandangan itu muncul selepas nama Mohd Asri disebut dalam inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang menyiasat kehilangan seorang lelaki di Perlis, Amri Che Mat.

Amri terlibat dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Perlis Hope. Dia dilaporkan gagal dikesan sejak 2015 namun siasatan Suhakam mengenainya baru bermula 22 Jan lalu.

Menurut Zaid sebagai orang biasa dia berpendapat Sunni dan Syiah sama-sama beragama Islam.

Jangan tiru Pakistan, Afghanistan

Seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Zaid, beliau juga bukan seorang ulama, tidak tahu membaca tulisan Arab atau memakai serban.

"Namun cendekiawan Islam di Malaysia sangat aneh. Setiap hari mereka asyik memberitahu kita itu dan ini demi ummah dan masyarakat Muslim universal.

"Kemudian mereka terus menganggap jika seseorang itu pengikut Syiah dan bukan Ahli Sunnah wal Jamaah, dia adalah ancaman kepada keselamatan negara," katanya.

Zaid juga menceritakan bagaimana dia melihat ramai warga Iran dan kumpulan Syiah dari negara lain mengerjakan haji di Mekah.

Katanya disebabkan kumpulan terbabit dibenarkan memasuki Tanah Suci sudah tentu mereka juga dianggap kerajaan Arab Saudi sebagai beragama Islam.

Semasa menghadiri persidangan antarabangsa di Amman, Jordan, Zaid berkata semua negara - termasuk Malaysia - juga mengiktiraf pengikut Syiah sebagai Muslim.

"Jadi mengapa orang Syiah ditekan jika mereka juga Muslim?

"Kita tidak perlu meniru Pakistan dan Afghanistan apabila orang Syiah dan Sunni melontarkan bom antara satu sama lain. Kita perlu mencontohi (Syiah dan Sunni di) India dan Bangladesh yang boleh hidup aman bersama-sama.

"Amalan mereka mungkin berbeza-beza - sama seperti penganut Katolik dan Protestan Kristian - namun itu bukan alasan menjadikan orang Syiah sebagai pengancam keselamatan negara," katanya.

Mengenai Amri, Zaid berkata, bagaimana seorang lelaki yang tinggal di sebuah bandar kecil di Perlis dan melakukan kerja-kerja kebajikan untuk orang susah boleh dianggap mengancam keselamatan awam.

"Saya harap mufti itu boleh menjelaskan kepada kita yang tidak mahir ini bagaimana seseorang boleh dianggap membahayakan negara hanya kerana mengikut sesebuah kumpulan atau komuniti.

"Saya syak alasan Syiah dianggap berbahaya di sini disebabkan pemimpin Muslim bimbang amalan mereka (Syiah) menarik kumpulan lain di negara ini dan menyebabkan orang awam meninggalkan amalan sedia ada," katanya.

Lihat Komen
ADS