Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Patriot: Mengapa senyap sunyi terhadap laporan berhubung UniLodge?
Diterbitkan:  Feb 1, 2018 10:22 AM
Dikemaskini: 3:16 AM

Persatuan Patriot Kebangsaan telah mempersoalkan mengapa mereka yang berkuasa senyap sunyi terhadap laporan bahawa Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah membeli sebuah blok pangsapuri di Melbourne, Australia pada harga yang melambung melampau.

"Empat hari telah berlalu (sejak laporan berita itu) dan tidak kedengaran sebarang reaksi daripada mereka yang berkuasa.

"Mengapa senyap sunyi berhubung skandal yang didakwa ini? Di manakah akauntabiliti?" kata Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji dalam satu kenyataan hari ini.

Akhbar Australia, The Sydney Morning Herald (SMH) Sabtu lalu melaporkan pemilik asal blok pangsapuri UniLodge, ahli perniagaan Australia, Lionel Harber, mengesahkan penilaian hartanah miliknya itu pada tahun 2012 adalah hampir separuh daripada apa yang dibayar oleh Mara Inc.

Harber dilaporkan "terkejut" apabila dia mengetahui bahawa dalam masa beberapa minggu selepas menjual bangunan itu pada harga A$23.5 juta (RM77.6 juta) kepada ejen yang ada kaitan dengan sebuah syarikat luar pesisir, ia dijual semula kepada Mara Inc dengan harga A$41.8 juta (RM138 juta) .

Mohamed Arshad berkata akal dan etika yang baik menuntut menteri bertanggungjawab supaya segera membuat pernyataan bagi menanggapi laporan SMH ini.

"Rakyat Malaysia menuntut siasatan menyeluruh dan pencerahan yang jelas mengenai apa yang berlaku," katanya.

Mereka yang disiasat, gesanya, mesti melepaskan semua jawatan yang sedang disandang, dan sekiranya suatu kesalahan terbukti dilakukan, pihak yang bersalah mesti dihukum dengan sewajarnya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melancarkan siasatan terhadap pembelian hartanah milik Mara Inc, selepas skandal itu meletus pada tahun 2015.

November lalu, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata siasatan hampir selesai.

Dana awam mesti dibelanjakan secara berhemah demi kebaikan rakyat, dan pembelian apa-apa barang, kelengkapan, dan bangunan, pada harga melambung melampau, tidak boleh diterima, kata Mohamed Arshad.

"Kami menghimbau laporan yang mengejutkan pada tahun 1982 oleh Ketua Audit Negara (KAN) mengenai harga belian sebungkus mi Maggi segera pada harga RM4, sedangkan harga pasaran pada masa itu hanya 30 sen," tambahnya.

Sejak itu, tegasnya lagi, laporan tahunan KAN terus menerus mendedahkan pernyataan yang mengejutkan berhubung penyalahgunaan kuasa.

"Tindakan tidak masuk akal oleh jabatan kerajaan dan penjawat awam membuat pembelian pada harga melambung melampau mesti berhenti serta-merta," tegasnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS