Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Petua' Rafizi untuk selesai isu agihan kerusi HARAPAN di S'gor
Diterbitkan:  Feb 14, 2018 9:31 AM
Dikemaskini: 1:45 AM

Rundingan agihan kerusi Pakatan Harapan Selangor mungkin lebih lancar apabila semua ahli bersetuju dengan satu set prinsip untuk berunding, seperti yang dilakukan dengan rundingan kerusi di peringkat pusat, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Katanya, ia bukan perkara luar biasa bahawa perundingan agihan kerusi bermula dengan banyak komplikasi.

"Sekali para perunding dapat menyepakati satu set prinsip, maka ia menjadi mudah kerana semua peruntukan akan selaras dengan prinsip berkenaan.

"Itulah yang kami lakukan (di peringkat pusat). Kami bersetuju dengan satu set prinsip dan kemudian anda menilai satu persatu kerusi berdasarkan semua prinsip ini," kata Rafizi kepada Malaysiakini dalam satu wawancara minggu lalu.

Beliau mengulas mengenai isu-isu yang menyelubungi rundingan agihan kerusi HARAPAN Selangor, seperti kekeliruan awal mengenai jawatankuasa mana yang diberi mandat untuk merundingkan peruntukan kerusi, pertikaian terbuka antara PKR dan AMANAH berhubung rundingan agihan kerusi dan BERSATU enggan mengiktiraf hasil rundingan yang sedang berterusan.

Rafizi berkata perunding agihan kerusi HARAPAN di peringkat pusat menuruti beberapa prinsip, termasuk kerusi imcumbent/penyandang tidak disentuh, faktor "winnability", perwakilan yang adil dan beberapa pertimbangan lain.

Beliau juga menegaskan bahawa HARAPAN di Selangor telah memulakan rundingan agihan kerusi lebih terkemudian daripada parti-parti di negeri lain.

Ketulusan

Ini kemungkinan besar kerana tidak ada perasaan mendesak untuk perbincangan agihan kerusi di Selangor, di mana penyandang 31 kerusi adalah incumbent ahli politik HARAPAN, katanya.

"Jadi hanya terdapat kira-kira 25 kerusi untuk dirundingkan," kata Rafizi yang menurutnya lebih mudah berbanding dengan contohnya, di Johor, di mana ia pada dasarnya dilakukan daripada mula.

Biasanya, apabila rundingan agihan kerusi negeri berlarutan, maka akan ada empat hingga lima kerusi tidak dapat diselesaikan, yang akan dirujuk ke peringkat pusat untuk diselesaikan.

HARAPAN Selangor masih belum lagi mencapai ke tahap itu memandangkan mereka lewat memulakan rundingan agihan kerusi mereka, katanya.

Memetik perundingan agihan kerusi Parlimen HARAPAN di peringkat pusat sebagai contoh, Rafizi berkata selagi prinsip-prinsip yang dipersetujui diikuti dengan niat yang baik, maka isu-isu di Selangor akan dapat diselesaikan.

"Selepas kira-kira tiga bulan berunding dengan pasukan itu, kita semua kenal satu sama lain. Kita tahu keikhlasan semua orang, kita tahu tidak ada muslihat," katanya.

Bagi Selangor, katanya, lebih cepat mereka memulakan semula rundingan, adalah lebih baik dan bila lebih banyak orang memahami dan "cuba menjadi teman satu sama lain, saya rasa akan lebih mudah rundingan itu".

Dilaporkan pada hari Isnin bahawa HARAPAN Selangor masih mempunyai kira-kira 15 hingga 20 kerusi yang belum dimuktamadkan dan bahawa empat parti komponen akan bertemu semula selepas perayaan Tahun Baru Cina. [Baca berita penuh]


Wawancara ini dijalankan oleh Geraldine Tong, Annabelle Lee dan Adrian Wong.

 

Lihat Komen
ADS