Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bukan kerajaan undang diplomat Israel
Diterbitkan:  Feb 15, 2018 5:22 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menafikan Malaysia mengundang diplomat Israel ke Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebaliknya, menurut Anifah, penyertaan delegasi Israel adalah berdasarkan jemputan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui agensinya iaitu Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) yang merupakan penganjur forum berkenaan.

Justeru, Anifah menegaskan, surat jemputan untuk delegasi Israel itu tidak ditandatangani mana-mana pegawai Malaysia, sebaliknya oleh pengarah eksekutif UN-Habitat.

Katanya langkah itu selaras dengan Perjanjian Negara Penganjur (Host Country Agreement) yang ditandatangani di antara organisasi berkenaan dan Malaysia.

"Adalah ditekankan bahawa tidak seperti surat jemputan kepada negara-negara yang lain, surat jemputan kepada Israel tidak ditandatangani oleh mana-mana pegawai Malaysia.

"Oleh itu, tohmahan bahawa Malaysia secara senyap-senyap mewujudkan hubungan dengan Israel melalui penganjuran forum ini adalah tidak timbul sama sekali.

"Pendirian Malaysia terhadap Israel tetap tidak berubah. Apa jua penyataan sebaliknya hanya sekadar membuktikan niat jahat dan berbahaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Profil Malaysia ditingkatkan

Malaysiakini pada 13 Feb lalu melaporkan sekumpulan diplomat negara Zionis terbabit hadir secara rasmi menggunakan pasport Israel ke Malaysia walaupun Putrajaya dan Tel Aviv tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik.

Delegasi itu diketuai Timbalan Duta Israel ke PBB, David Roet dan disertai pegawai kanan negara berkenaan.

Peluang melawat negara ini kelihatan begitu menggembirakan Roet yang menciap pengalamannya beberapa kali di Twitter.

Roet juga menyatakan harapannya agar kedua-dua negara menjalin hubungan yang lebih erat pada masa depan.

Namun kehadiran diplomat Israel itu merungsingkan pelbagai pihak di negara ini, sama ada sesetengah pemimpin politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antaranya NGO Islam yang melahirkan kebimbangan apabila Roet didakwa bertemu pegawai kerajaan Malaysia.

Kata Anifah berdasarkan Fasal III Perjanjian UN-Habitat dan Malaysia, ia antaraya menyebut bahawa penyertaan dalam forum berkenaan dibuka kepada seluruh anggota PBB dan mana-mana agensi khusus (specialized agencies).

"Host Agreement ini adalah syarat bagi mana-mana persidangan PBB untuk diadakan di luar mana-mana ibu pejabat PBB yang sedia ada," katanya.


Baca Hubungan sulit Israel dan kerajaan Malaysia?


Anggota parlimen Kimanis itu juga menjelaskan kejayaan Malaysia menganjurkan WUF9 itu berjaya meningkatkan profil Malaysia di peringkat antarabangsa.

Katanya ia juga mempamerkan pencapaian Malaysia dala usaha mempromosi, menyuara dan melaksanakan agenda perbandaran baru (new urban agenda).

"Semua rakyat Malaysia harus bangga dengan kejayaan negara menganjurkan forum yang berprestij dan penting ini," kata Anifah lagi.

WUF9 berlangsung selama seminggu, mulai 7 hingga 13 Feb.

Menurut laman sesawang acara berkenaan, forum itu membabitkan agenda universal yang membabitkan orang ramai daripada pelbagai latar belakang.

Ia disertai 22,000 peserta dari 165 negara dan membabitkan lebih 100 menteri atau timbalan menteri yang membahaskan langkah-langkah konkrit untuk bekerjasama bagi membina "bandar raya untuk semua".

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar turut berucap di majlis berkenaan.

Pertemuan seterusnya akan diadakan pada 2020 di Abu Dhabi.

Lihat Komen
ADS