Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Diplomat Israel jumpa pegawai M'sia runsingkan NGO Islam
Diterbitkan:  Feb 15, 2018 12:07 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Selain kemasukkannya ke negara ini, dakwaan pertemuan diplomat Israel David Roet dengan pegawai kerajaan Malaysia antara perkara yang membimbangkan NGO Islam.

“Lebih membimbangkan apabila kita dapat tahu Roet turut bertemu pegawai kerajaan Malaysia.

“Bagi kami, ini mencerminkan cubaan untuk dasar penormalan Israel yang mahu dilaksanakan bersama Malaysia,” kata Timbalan Pengerusi Sekretariat Rakyat Malaysia-Palestin Mohd Azmi Abdul Hamid.



Azmi turut membangkitkan tweet Roet yang memaparkan harapannya supaya Malaysia dan Israel mempunyai hubungan lebih baik di masa depan.

Kenyataan itu disokong oleh empat NGO, iaitu Citizens International (CI), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Pertubuhan Rakyat Sejagat (SEJAGAT) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA).

Rombongan diketuai Roet, timbalan duta Israel ke Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), itu adalah rombongan rasmi yang pertama.

Diplomat negara Zionis itu menghadiri persidangan berkaitan penempatan manusia selama seminggu di Kuala Lumpur.

Stesen televisyen Israel, Hadashot TV, melaporkan delegasi itu turut disertai bekas menteri negara Yahudi itu, Ofir Pines.

Semakan di akaun Twitter Roet menunjukkan dia melalui pengalaman menggembirakan sepanjang tempoh berada di negara ini.

Menyifatkan sebagai “pengalaman unik”, Roet menyimpan harapan tinggi untuk kedua-dua negara menjalin hubungan baik pada masa depan.

Dia juga berkata mendapati terdapat banyak persamaan antara orang Malaysia dan Israel sebagai negara berbilang bangsa.

'Retorik kosong'

Dalam kenyataan hari ini, Azmi juga berkata perhimpunan anti-Israel yang disertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya sebelum ini sudah menjadi “retorik kosong”.

Azmi turut menggesa Malaysia menamatkan hubungkan dagang dengan Israel atau akan dilihat melaksanakan “dasar munafik”.

“Kami gera kerajaan Malaysia memimpin masyarakat Asean untuk menentang kejahatan kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Data rasmi diterbitkan Biro Statistik Pusat pada 2014, lapor The Times of Israel, menunjukkan hubungan dagang kedua-dua negara berkembang walaupun dalam keadaan berhati-hati.

Nilai dagangan antara kedua-dua negara dianggarkan sebanyak AS$1.5 bilion (RM5.9 bilion) setahun.

Malaysiakini telah menghubungi Wisma Putra dan masih menunggu penjelasannya sejak kelmarin.

Lihat Komen
ADS