Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SKMM nafi akta berita palsu untuk PRU14
Diterbitkan:  Feb 18, 2018 12:20 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan penggubalan akta berita palsu bertujuan untuk melindungi parti pemerintah menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Dr Mazlan Ismail berkata undang-undang tersebut tiada kaitan dengan PRU sebaliknya ia adalah untuk kepentingan rakyat.

“Ini adalah undang-undang untuk kepentingan negara, bukannya untuk menjaga kepentingan sesiapa, atau menjelang Pilihan Raya Umum 14 (PRU-14) seperti didakwa pihak tertentu.

“Undang-undang ini tiada kena mengenai dengan PRU-14. Jangan buat sebarang spekulasi untuk menghalang akta ini daripada dibentang dan diluluskan di Parlimen kerana ia untuk kepentingan rakyat,” kata Mazlan dalam wawancaranya bersama Berita Harian.

Media tempatan itu melaporkan ulasan Mazlan mengenai pemimpin pembangkang yang mendakwa akta tersebut hanya melindungi kerajaan menjelang PRU.

Mungkin jadi 'senjata' aniaya seteru politik

Pada 1 Feb lalu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa Putrajaya membubarkan jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk membasmi berita palsu dan menggantikannya dengan jawatankuasa dwipartisan di Parlimen.

Lim berkata keanggotaan jawatankuasa itu yang terdiri daripada menteri kabinet, polis, pegawai Pejabat Peguam Negara, ahli NGO dan anggota parlimen berkemungkinan besar dijadikan 'senjata' oleh kerajaan bagi menganiaya seteru politik mereka.

Menurut anggota parlimen Gelang Patah itu lagi, jawatankuasa terbabit kelihatan tidak bebas kerana Putrajaya dan BN kini merupakan 'pengeluar terbesar berita palsu'.

Sementara itu Mazlan menyifatkan berita palsu ini umpama 'bom jangka' yang akan meletup bila-bila masa.

Katanya, trend berita palsu bukan hanya sahaja di Malaysia, malah berita palsu tersebar di seluruh dunia dan ia satu ancaman.

“Negara lain pun sudah ada undang-undang khusus untuk membendungnya. Sebab itulah sebelum dibentangkan, definisi berita palsu dan hukuman yang sesuai kepada penyebar berita palsu perlu diteliti terlebih dahulu,” kata beliau sebagaimana yang dilaporkan.

 


 

Lihat Komen
ADS