Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR: Jho Low, pulanglah serah diri
Diterbitkan:  Mar 1, 2018 11:36 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

PKR mendesak hartawan kontroversi Jho Low pulang menyerah diri untuk didakwa di mahkamah negara ini.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata hanya dengan cara itu beliau dapat membersihkan namanya daripada tanggapan penglibatannya dalam skandal 1MDB.

“Memandangkan Jho Low telah mengecam rampasan kapal mewah beliau, dan memandangkan rampasan tersebut dibuat atas dakwaan wang RM 1 bilion yang diguna untuk membeli kapal mewah diseleweng dari 1MDB, Jho Low sebenarnya perlu segera pulang ke Malaysia dan membersihkan nama beliau dengan menyerah diri untuk didakwa di mahkamah di negara ini,” katanya.



Polis Indonesia dengan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat semalam merampas kapal layar mewah Equanimity milik Jho Low yang didakwa diperoleh menggunakan dana yang disalah guna bersumberkan 1MDB.

Dalam rampasan di Bali itu, 34 orang anak kapal berada di situ tetapi tiada kelibat Jho Low dilaporkan.

Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho melalui jurucakap menyifatkan Jabatan Keadilan (DOJ), AS "keterlaluan" kerana bertindak di peringkat global tetapi “tidak melihat kembali dakwaan yang bermotifkan politik dan penuh kelemahan”.

Dalam kenyataan hari ini, Fahmi berkata Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali perlu perlu memulakan tindakan mahkamah terhadap Jho Low dan lain-lain individu yang dipercayai terlibat dalam skandal 1MDB, tidak kira siapa.

“Pada masa yang sama, Jho Low juga wajib membersihkan nama beliau di negara-negara lain yang menyiasat skandal 1MDB, termasuk di Amerika Syarikat,” katanya.

Sementara itu, kata Fahmi, ramai rakyat Malaysia menerima baik berita rampasan kapal mewah itu.

“Namun, kita juga malu kerana ia menunjukkan bagaimana tindakan undang-undang berkaitan skandal 1MDB kelihatan hanya berlaku di luar negara, termasuk di Amerika Syarikat, Singapura, Luxembourg, Switzerland dan terkini Indonesia,” katanya.

Lihat Komen
ADS