Paling Popular
Terkini

ULASAN I Memainkan isu perkauman dan membakar sentimen keagamaan adalah sinonim dengan cara politik Umno dan PAS zaman berzaman.

Terkini, Umno-Barisan Nasional dan rakan ta‘āwun mereka PAS rancak berkempen menanam bibit keraguan betapa kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya umum akan datang bakal melemahkan kuasa politik Melayu dan Islam di Malaysia.

Perkara ini dikatakan boleh berlaku hanya disebabkan oleh wujudnya DAP - satu parti majoriti kaum Cina - dalam gabungan politik HARAPAN.

Gambaran kekuatan DAP ini yang kononnya bakal menghakis hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam kerana dominasi DAP melalui jumlah kerusi parlimen yang mereka tandingi dan bakal menang bukan hanya dicanang oleh ahli politik sepenuh masa.

Bahkan hujah dangkal seumpama ini diketengahkan oleh segelintir ahli akademik Melayu seperti yang sering dilakukan oleh Dr. Kamarul Zaman Yusoff bagi menakut-nakutkan bangsa Melayu yang sudah mula positif menerima idea peralihan kuasa kerajaan persekutuan daripada Umno-BN kepada HARAPAN.

Momokan jahat seperti ini jika tidak dijawab secara tuntas dengan laras bahasa dan hujahan yang boleh diterima oleh psyche orang Melayu hanya akan merencatkan usaha menyelamatkan Malaysia daripada kebobrokan Umno-BN dan rakan ta‘āwun mereka PAS yang kian menyusahkan rakyat hari demi hari.

Dua hujah sebagai bukti

Selain daripada hujah perangkaan yang menunjukkan bahawa adalah mustahil DAP akan mendominasi kerajaan HARAPAN melalui jumlah kerusi yang dimenangi, ada dua hujah ringkas lain yang membuktikan bahawa sangkaan kedudukan orang-orang Melayu dan Islam akan tergugat adalah meleset.

Pertama, orang Melayu perlu diingatkan bahawa ini cuma dakyah politik di musim pilihan raya yang cuba mengaburi mata rakyat terhadap hakikat yang sama sekali tidak akan berlaku di Malaysia.

Hal ini mustahil berlaku kerana Perlembagaan Persekutuan telah menyediakan satu mekanisme dalaman sedia ada (in-built mechanism).

IIa memastikan jika pun wujud usaha-usaha legislatif untuk melemahkan kepentingan orang-orang Melayu dan Bumiputera yang terjamin menerusi Perkara 152 (bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan) dan Perkara 153 (kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera) Perlembagaan Persekutuan; usaha-usaha itu hanya sia-sia dan tidak akan ke mana.

Andai kata bersepakat dua pertiga ahli-ahli parlimen (ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara) untuk menghapuskan jaminan perlembagaan ini, usaha itu tetap tidak akan berjaya tanpa restu Majlis Raja-Raja.

Bukan sahaja pindaan terhadap peruntukan Perkara 152 dan Perkara 153 itu tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, sebarang perubahan dasar dan polisi kerajaan berkenaan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mesti dirujuk dan dirunding dengan Majlis Raja-Raja.

Ini dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 38 (5) Perlembagaan Persekutuan:

“Majlis Raja-Raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153”.

Bahkan, isu keistimewaan orang-orang Melayu dan Bumiputera bukan ditentukan oleh ahli-ahli politik semata mata kerana beban itu adalah di atas pundak Yang di-Pertuan Agong jua.

Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan terang-terang menyatakan: “menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak…”.

Ketua agama Islam

Dalam konteks agama Islam, Perlembagaan Persekutuan menetapkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam dan bertanggungjawab menjalankan tugas mereka demi kepentingan Islam dan masyarakat Islam.

Item 2, Bahagian 1, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan misalnya menyebutkan dengan jelas bahawa: “Raja boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan…; (d) apa-apa fungsi sebagai ketua agama Islam atau yang berhubungan dengan adat Melayu”.

Semua peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini dipetik bagi membuktikan bahawa jaminan keselamatan keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam itu fakta dan bukan sekadar cakap-cakap politik.

Yang kedua, rekayasa Umno-BN dan rakan ta‘āwun mereka PAS mencipta ketakutan orang-orang Melayu agar tidak mengundi HARAPAN ini hanya berasas jika raja-raja Melayu tidak berbuat apa-apa dan turut sama bersekongkol.

Sukar dibayangkan

Adalah terlalu sukar untuk membayangkan raja-raja Melayu yang menjadi payung berdaulat orang Melayu dan Islam akan membungkam tidak berbuat apa-apa jika benar onar cuba dibuat terhadap Melayu dan Islam tatkala HARAPAN berkuasa kelak.

Dengan memainkan isu kononnya Islam dan Melayu akan tergugat jika HARAPAN memerintah Malaysia, sebenarnya Umno-BN dan rakan ta‘āwun mereka PAS telah meremehkan institusi diraja dan kebijaksanaan serta ketegasan Raja-Raja Melayu dalam isu-isu ini.

Jika ada yang termakan dakyah ini pula, itu adalah cerminan krisis keyakinan dan jati diri orang Melayu itu sendiri terhadap raja-raja mereka. Pantang Melayu menderhaka, berdusta dan berkata- kata nista kepada raja.

Justeru, ayuh orang-orang Melayu bersama kita bergandingan membuat perubahan, tiada lagi perkara yang nak digusarkan, kerana impian untuk masa hadapan Malaysia yang lebih cerah dan terjamin jelas berada di tangan HARAPAN.


ABU HAFIZ SALLEH HUDIN Adalah timbalan pengerusi Biro Dasar & Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)

Rencana ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS