mk-logo
Berita
KM: Sarawak akan pinda undang-undang selesai kes murtad
Diterbitkan:  Mar 3, 2018 5:51 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata kerajaan negeri merancang meminda undang-undang Syariah Sarawak supaya isu murtad dapat diselesaikan secara pentadbiran, lapor Utusan Borneo.

"Kita akan meminda undang-undang Syariah...ini kerana jika ada masalah perlu penyelesaiannya.

"Bagi kes ini khasnya. Saya akan selesaikan atas kapisiti saya sebagai Ketua Menteri," kata beliau.

Johari berkata pada masa ini perintah mahkamah perlu didapatkan bagi Jabatan Pendaftaran Negara mengiktiraf seseorang warga itu telah meninggalkan Islam.

"Kerana itulah mahkamah bersidang (Rabu lalu), bagi mendapatkan taksiran bidang kuasa mahkamah mana yang berhak ke atas kes murtad.

"Jika bidang kuasa itu (Mahkamah) Syariah, jadi ia (Mahkamah) Syariah). Perlu ada saluran untuk kes sebegini," kata Abang Johari.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan kes empat orang warga Islam yang mahu murtad dengan menukar agama menjadi penganut Kristian tidak boleh berbuat demikian melalui mahkamah sivil dan mereka perlu memohon di mahkamah syariah.

Kes berprofil tinggi ini menyaksikan penyokong kedua-dua agama hadir di kompleks mahkamah di Kuching sehingga berlaku beberapa kejadian kekecohan.

HARAPAN Sarawak sambut baik KM

Pakatan Harapan (HARAPAN) Sarawak dalam kenyataan bersama mengalu-alukan pendirian ketua menteri itu.

"Kami menghargai kenyataan pantas dan positif yang dibuat ketua menteri hari ini sebagai tindak balas terhadap desakan kami untuk kerajaan meminda undang-undang bagi menetapkan dengan jelas prosedur pihak yang mahu keluar daripada Islam, selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa lalu berhubung kes murtad," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandangani Pengerusi HARAPAN Sarawak yang juga merangkap pengerusi DAP negeri bersama pengerusi AMANAH Sarawak, Fidzuan Zaidi dan pengerusi PKR negeri, Baru Bian.

"Janji ketua menteri untuk meminda undang-undang seiring dengan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Sebagai rakyat Sarawak, kami perlu bersatu dalam perkara ini. Sangat jelas ia bukan isu Islam lawan Kristian, tetapi hanyalah hak-hak kebebasan beragama warga.

Para pemimpin itu juga menempelak 'pihak pelampau' yang memainkan isu ini dan menuduh Baru sebagai 'anti-Islam' atas peranannya dalam kes mahkamah tersebut.

"Ada yang berkata pendirian kami dalam perkara ini bercanggah dengan Islam dan tuntutan kami untuk kerajaan meminda undang-undang akan membuka pintu murtad kepada orang Islam.

"Kami harap kenyataan jelas ketua menteri hari ini akan menyebabkan mereka berhenti sejenak dan memikirkan semula tindakan dan kata-kata kasar mereka.

"Kenyataan ketua menteri yang rasional dan tenang itu menunjukkan beliau faham isu ini dan tiada agenda Kristian di sini," kata kenyataan itu lagi.

Lihat Komen
ADS