Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Parti wakili kaum Cina S'wak pikul cabaran besar buat BN'

Keretakan dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sehingga membawa kepada penubuhan Parti Rakyat Bersatu (UPP) pada 2014 memberi tamparan hebat, apalagi ia berlaku ketika imejnya tercalar pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) apabila enam daripada daripada tujuh kawasan yang ditandinginya ditewaskan pembangkang.

Ringkasnya daripada 31 kerusi parlimen di Sarawak, SUPP kini hanya memiliki satu kerusi parlimen di Serian, manakala Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) 15, Parti Rakyat Sarawak (PRS) lima, dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) empat manakala pembangkang pula, DAP memiliki lima kerusi dan PKR satu.

Tidak syak lagi, parti itu perlu melakukan sesuatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang kini sudah semakin hampir, untuk mengembalikan kegemilangannya sebagai parti tertua di Sarawak dalam memikul tanggungjawab mewakili suara kaum Cina di Kuching, sekali gus memberikan kemenangan lebih besar kepada Barisan Nasional (BN).

Selain berhadapan dengan DAP, SUPP kini perlu meneroka laluan untuk bersatu hati dengan parti serpihannya, UPP, bagi merapatkan barisan dalam menghadapi cabaran mendatang, supaya jika ada kegagalan BN di kawasan majoriti kaum Cina nanti, semoga ia tidak dirumuskan sebagai kesan ‘tikaman dari belakang’.

Prof Madya Dr Jeniri Amir daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata jika tiada persefahaman antara mereka, kemungkinan menjelang (PRU14) kawasan undi majoriti Cina akan memberi impak negatif kepada BN, secara tidak langsung menampakkan kesukaran BN menawan hati masyarakat Cina, terutama di kawasan bandar.

“Diharapkan kedua-dua parti itu mengambil peduli semua nasihat yang diberikan, cari jalan penyelesaian supaya tidak berlaku situasi yang kalah akan kalah semua, yang menang akan menang semua, perlu ada situasi menang, menang antara dua parti, melangkah ke hadapan sahaja formula untuk menjamin kemenangan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Jika ‘status quo’ dikekalkan, tujuh kawasan parlimen majoriti kaum Cina yang akan dipertanggungjawabkan untuk ditandingi parti yang didominasi kaum itu ialah Bandar Kuching, Stampin, Sibu, Lanang, Sarikei, Miri dan Serian.

Tindakan Menteri Kewangan II Sarawak Datuk Seri Dr Wong Soon Koh keluar daripada SUPP untuk menubuhkan UPP benar-benar mengejutkan ramai, apa lagi ketika itu PRU13 baharu berakhir dan pilihan raya negeri Sarawak ke-11 (PRN11) pula baharu menjengah.

Namun kebijaksanaan dan kehebatan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem sebagai ketua menteri berjaya merungkai segala kekusutan, malah dilihat berjaya mengembalikan keyakinan kaum Cina kepada SUPP pada PRN-11.

Demi menghormati prinsip kesepakatan dalam BN, UPP tidak diterima menyertai Barisan Nasional walaupun ia berstatus ’mesra BN’, namun Wong tetap dibenar bertanding di Bawang Assan dengan syarat beliau bertanding sebagai ‘calon langsung’, yakni calon tidak mewakili mana-mana parti.

Formula itu dilihat memberi impak positif apabila SUPP bawah kepimpinan Datuk Dr Sim Kui Hian sebagai presiden berjaya membolot tujuh daripada 13 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya, manakala DAP yang sebelum itu menduduki 12 kerusi Dewan Undangan Negeri, kini hanya tinggal tujuh.

Ketika ini, tumpuan beralih kepada kebijaksanaan dan kewibawaan ketua menteri yang baharu, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi mencari ‘jalan penyelesaian’ paling sesuai dalam meneruskan momentum sokongan ramai kaum Cina kepada BN pada PRU14 pula.

Jeniri berkata beliau percaya kemenangan kerusi majoriti Cina amat penting bagi mencerahkan harapan agar ada wakil masyarakat Cina dari Sarawak diberikan peluang untuk berada dalam barisan kabinet persekutuan.

Katanya ketika ini beliau tidak nampak kemungkinan pihak pembangkang akan dapat menambah kerusi di Sarawak kerana menurutnya pada PRU13 pihak pembangkang dilihat sudah berada pada tahap yang tepu.

“Saya juga sangsi pihak pembangkang khususnya DAP, dapat menembusi kawasan luar bandar kerana kawasan ia adalah kubu kuat BN, tidak mungkin mereka dapat menumbangkan calon atau parti seperti PBB, PRS dan lain-lain parti komponen BN Sarawak.

“Kemenangan besar BN di Sarawak bukan sahaja penting untuk usaha memperjuangkan hak autonomi Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), malah penting untuk memberi peluang kepada wakil rakyat dari kaum Cina di Sarawak untuk berada dalam kabinet persekutuan seperti sebelum 2013,” katanya. -Bernama

 

Lihat Komen
ADS