Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Politik makanan: Makanan orang miskin, makanan orang kaya

ULASAN | Agak lucu apabila tokoh pembangkang, Lim Kit Siang, yang selama ini merupakan jaguh pendedahan skandal besar negara seperti Bumiputra Malaysia Finace (BMF), penswastaan dan kerugian Bank Negara kini menyerang makanan asli di pergunungan Andes, quinoa.

Yang agak pelik, dia ingin menjadikan nasi lawan quinoa sebagai garis pertembungan politik menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), bukan 1MDB, skandal Felda Global Venture (FGV), wang derma Arab Saudi atau pun Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengaku makanan utamanya ialah quinoa, yang katanya lebih sihat berbanding nasi kerana kandungan karbohidrat dan gulanya kurang daripada beras.

Sebenarnya, untuk 100 gram nasi, jumlah kalorinya ialah 130, sedangkan 100 gram quinoa yang dimasak mengandungi 120 kalori - iaitu berbeza hanya 10 kalori sahaja.

Pada 2013, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO) pernah mempromosikan quinoa sebagai makanan ruji yang dipinggirkan oleh syarikat makanan gergasi.

Tetapi di Malaysia, harga quinoa berpuluh kali ganda lebih mahal berbanding beras untuk jumlah berat yang sama.

Mengapa harga quinoa di Malaysia mahal?

Negara paling gemuk

Lesen import makanan terhad diboloti oleh golongan terpilih yang dapat menentukan harga untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin.

Sama juga dengan bahan makanan asas lain, misalnya, walaupun harga susu dunia menurun akibat lebihan pengeluaran, harganya terus meningkat di Malaysia.

Harga bahan makanan asas import di Malaysia dikuasai oleh kepentingan monopoli dan oligopoli.

Pada awal abad ke-20 dulu, nenek moyang kita tidak makan seperti sekarang. Pada waktu itu, penyakit kekurangan zat makanan berleluasa.

Malah, ramai penduduk keturunan Cina yang memilih beras putih import dari Siam mengalami penyakit beri-beri akibat kekurangan vitamin B1.

Walaupun beras putih digunakan dengan meluas sekarang ini, zat makanan disediakan oleh pelbagai makanan lain yang dimakan bersama nasi.

Masalah utama yang mencabar kita sekarang ialah penyakit berkaitan amalan pemakanan yang kian meningkat. Malaysia merupakan negeri yang paling gemuk (obes dan berlebihan berat badan) di benua Asia, dan kita juga mempunyai kadar diabetes (kencing manis) yang begitu tinggi.

Pengaruh syarikat gergasi makanan kian meningkat hinggakan menjadi kebiasaan ahli pemakanan menerima geran dan tajaan daripada mereka, terutama untuk memperakukan makanan dan minuman yang sarat gula dalam kandungannya.

Amat mengejutkan juga apabila menteri kesihatan sendiri tidak mahu kerajaan mengenakan peraturan terhadap makanan demi kesihatan rakyat.

Negara harus peka, berani

Sementara itu rakyat Malaysia hanya sedar mengenai penggunaan racun agrokimia dalam makanan kita sebenarnya berlebihan apabila eksport sayuran Malaysia ditolak oleh negara pengimpot.

Nama baik eksport makanan Malaysia juga tercabar apabila Malaysia dijadikan pusat eksport semula makanan (misalnya, udang dan madu) dari negara jiran untuk dieksport ke pasaran lain.

Laporan terbaru Unicef mengenai Kanak-Kanak Pinggiran mendedahkan masalah kurang pemakanan, kekurangan nutrien serta penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan di perumahan awam di Kuala Lumpur adalah mengejutkan.

Selain daripada kurang pendapatan dan kemampuan mendapatkan makanan berzat, terdapat kadar kurang pemakanan yang tinggi akibat amalan dan kelakuan budaya, dan tiadanya peraturan untuk mengawal iklan palsu.

Makanan tidak cukup dan kurang sesuai untuk ibu dan bayi dalam waktu “1,000 hari pertama” sejak janin tumbuh dalam rahim ibu boleh mencacatkan pembangunan fizikal dan mental kanak-kanak yang kekal sepanjang hayat.

Contohnya, ibu-ibu yang bekerja mengalami masalah untuk menyusukan bayi mereka sepenuhnya selama enam bulan seperti disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Baca Quinoa - mencerna diet purba Najib


Individu yang sihat dan panjang umur seperti Tun Dr Mahathir pernah mengaku kesihatannya akibat gen yang diwarisinya.

Namun, disiplin ketika mengambil makanan tidak kurang sumbangannya untuk kesihatan itu.

Ia juga mungkin dipengaruhi oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang terkenal dengan usaha berterusannya untuk memajukan kesihatan awam.

Untuk menangani masalah pemakanan dan akibat pemakanan yang semakin ketara di tanah air ini, pimpinan negara harus peka dan berani mengambil langkah yang mengatasi kepentingan politik dan perniagaan, demi rakyat dan masa depan masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera.


WAN MANAN pernah menjadi profesor pemakanan dan kesihatan awam di Universiti Sains Malaysia dan pengerusi GERAK, pergabungan gerakan ahli akademik di Malaysia. JOMO KS pula rakan lamanya sejak 44 tahun lalu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS