Paling Popular
Terkini

ULASAN l Tiba-tiba quinoa, makanan yang jarang didengar rakyat kebanyakan di Malaysia, menjadi sohor di Internet dalam tempoh 24 jam terakhir.

Semuanya berlaku selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan diet sihatnya yang menggantikan nasi dengan produk yang seakan-akan bijirin itu.

Quinoa (sebut: keen-wah) kini sohor di Google Trends. Tapi apa sebenarnya Quinoa?

Walaupun digunakan seperti bijirin tulen seperti beras dan gandum, quinoa sebenarnya bijian yang tergolong dalam keluarga bayam.

Ia mula ditanam di wilayah Andean di Amerika Selatan lama dahulu, kira-kira 3,000 hingga 4,000 tahun melibatkan kawasan antara Peru dan Bolivia.

Sehingga ke hari ini kawasan itu menjadi sumber utama untuk bekalan dunia.

Bolivia adalah negara pembekal utama Quinoa diikuti Peru dan Ecuador.

Quinoa ditanam di “altiplano”, iaitu kawasan tanah tinggi yang rata dan sejuk dan tidak banyak tumbuhan hidup di situ.

Oleh kerana penanamannya masih menggunakan cara lama sejak ribuan tahun, ia dianggap sebagai bijian purba.

Najib berkata beliau menggantikan quinoa dengan nasi atas faktor kesihatan.

Belum terdapat kajian kukuh yang membuktikan quinoa lebih sihat berbanding beras, terutamanya beras perang, yang mempunyai nilai nutrisi seperti bijirin-bijirin lain.

Ia boleh menjadi alternatif mudah menggantikan nasi dalam resipi masakan.

Bagaimanapun, dengan kandungan protein yang tinggi, bijian ini amat sesuai menjadi sajian golongan vegetarian dan vegan.

Quinoa juga menjadi sumber magnesium, manganese dan beberapa mineral serta vitamin, selain bebas gluten secara semula jadi dan tinggi kandungan serat.

Harga mencanak

Quinoa sering dipanggil “bijirin agung Andes” oleh pribumi Amerika Selatan dan pengkaji susulan kandungan nutrisi yang tinggi.

Disebabkan faedah kesihatannya yang diuar-uarkan itu, bijirin itu kini sangat popular sebagai pengganti nasi dan dipromosikan sebagai makanan sihat.

Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) malah pernah mengisytiharkan 2013 sebagai “Tahun Quinoa Antarabangsa” dengan Pertubuhan Pertanian dan Makanan PBB (FAO) menjadi sekretariat kempen itu.

Menurut FAO, usaha itu diumumkan bagi menghargai orang asal Andes yang “mempertahankan, mengawal dan menjaga quinoa sebagai makanan untuk generasi sedia ada dan akan datang”.

PBB juga berterima kasih kepada tradisi pengetahuan dan amalan masyarakat itu dengan hidup secara harmoni dengan alamnya.

Lebih dari itu, Ketua Penagrah FAO Jose Graziono da Silva menggelar quinoa sebagai “sekutu dalam perjuangan melawan kelaparan dan kekurangan makanan”.

Bagaimanapun, populariti quinoa sebagai makanan sihat menyebabkan harganya mencanak tiga kali ganda antara 2006 hingga 2013.

Inilah yang menjadi asas kritikan Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng kepada Najib yang didakwanya tidak memahami keperitan hidup rakyat biasa.

Bayangkan paket kecil quinoa Love Earth Organic Quinoa seberat 250-gram berharga RM14.79 atau bersamaan RM591.60 untuk 10kg.


Baca: MP gesa tolak Najib sebab dia tak makan nasi


Beras seperti Jasmine Super Special (5 peratus beras hancur) yang menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia pula berharga RM25.85 untuk berat yang sama.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad – kawan yang menjadi lawan Najib – juga turut memperolokkan Najib dengan berkata beliau hanya makan nasi dari beras tempatan.

Kesan negatif

Dalam skala global, kenaikan harga quino memberi kesan buruk kepada masyarakat pribumi Peru dan Bolivia yang menjadikannya makanan ruji.

Sekitar tahun 2011 hingga 2013, laporan berita mendakwa permintaan dari negara-negara barat telah menekan harganya, sekali gus menyebabkan orang miskin di kedua-dua negara itu tidak lagi mampu membelinya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Bolivia Nemecia Achacollo dilaporkan berkata hanya 10 peratus quinoa ditanam di Bolivia beredar dalam negara itu sementara 90 peratus lagi dieksport.

Perkara itu dilapor mendorong ramai menggantikan quinoa dengan nasi dan mi.



Bagaimanapun, agensi berita antarabangsa Associated Press pada 2011 melaporkan ramai kanak-kanak negara itu menunjukkan tanda-tanda kekurangan zat.

New York Times pula pada tahun sama melaporkan semakin hari semakin ramai rakyat Bolivia tidak mampu membeli quinoa selepas kenaikan harga makanan itu.

Bagaimanapun, satu analisis yang disiarkan Andean Information Network mendakwa petani-petani quinoa menikmati kestabilan ekonomi susulan harganya yang tinggi.

[Baca ulasan asal]
 


'Dia makan quinoa, saya nasi beras tempatan saja'

Kit Siang: PRU14 mengenai quinoa lawan beras

Walau makan quinoa PM sentiasa utamakan rakyat

Lihat Komen
ADS