Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PARLIMEN | Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) memberi reaksi mengejutkan selepas Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang) memberitahu beliau sanggup mati semasa melawan BN.

Che Mohamad Zulkifly yang juga seorang bekas hakim berkata kepada Hanipa: "Matilah cepat" semasa kedua-dua mereka berbalas hujah di Dewan Rakyat semalam.

Sebelum itu, perang mulut tercetus antara Hanipa Che Mohamad Zulkifly dan Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) dan Rosnah Abdul Rashid Shirlin (BN-Papar).

Puncanya Hanipa membangkitkan isu rampasan kapal persiaran mewah Equanimity serta akaun bank Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin yang dibekukan pihak berkuasa Australia.

Sesi Dewan Rakyat semalam sepatutnya berakhir pada jam 8.30 malam, tetapi Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohamed Said memberi tempoh beberapa minit kepada Hanipa untuk meneruskan ucapannya.

Bagaimanapun Ismail tidak membenarkan Hanipa terus bercakap kerana mendakwa banyak peraturan dilanggar semasa perang mulut terjadi.

Ismail kemudian meminta Noor Ehsanuddin dan Hanipa memberi perhatian kepada peraturan mesyuarat.

"Saya bersangka baik di antara Sepang dan Kota Tinggi, mereka kawan baik.

"Tetapi berhati-hatilah, jangan sampai akibatnya putus urat di kepala dan leher. Kesannya tidak baik kepada kesihatan kita," kata Ismail kepada Hanipa.

Untuk rekod pada April 2016 Hanipa pengsan selepas terlibat dalam perbahasan hangat di Dewan Rakyat. Beliau kemudian menjalani pembedahan berikutan berlaku pendarahan otak.

Menjawab Ismail, ahli parlimen AMANAH itu bagaimanapun berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk terus bercakap mengenai isu yang telah dibangkitkan, walaupun dia sakit.

Jangan mudah petik hadis

"Sebab bagi saya, ini benda yang saya kena cakap. Saya tidak ada masalah. Sakit ke, hatta saya mati sekalipun, saya puas hati sebab saya cakap lawan BN.

"Kalau malaikat tanya kenapa mati? Mati lawan BN. Saya rasa lega betullah. Sebab BN ni jahat, mereka adalah crooks," katanya.

Che Mohamad Zulkifly kemudian mencelah: "Mati kerana lawan BN? Astaghfirullahhalazim, mati kerana lawan BN... bagus, terima kasih, alhamdulillah, matilah cepat."

Bagaimanapun, Hanipa menjawab bahawa dia tidak mempunyai masalah dengannya.

"Tak apalah, tak ada masalah. Kami bukan takut mati, kita takut lepas mati," kata Hanipa, memetik hadis mengenai perkara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim kemudian mencelah dengan memetik hadis "tutuplah aib kamu di dunia, Allah tutup aib kamu di akhirat".

Walaupun bersetuju dengan hadis itu, Hanipa menegur Shahidan bahawa isu-isu yang telah dibangkitkannya mempunyai kepentingan awam.

"Seperti isu pengarah CID, semua orang bercakap. Itu bukan maksud (hadis) seperti Arau faham.

"Saya bukan nak cakap saya ustaz tetapi saya belajar agama juga. Saya mempunyai ijazah dalam bidang syariah.

"Saya tidak kata saya seorang ustaz, tetapi anda tidak boleh saja-saja memetik hadis," kata Hanipa kepada Shahidan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS