Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'BN boleh mansuhkan tol tapi kita perlu realistik'

Kerajaan BN boleh memansuhkan tol tetapi ia perlu bersikap realistik, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Rosnah menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Pulai) yang menyatakan pemansuhan tol tidak mustahil dengan merujuk pengumuman Datuk Seri Najib Razak memansuhkan empat tol pada Bajet 2018.

"Kerajaan BN adalah kerajaan bertanggungjawab yang mampu untuk melaksanakan tindakan-tindakan demi untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhan sebab kita menjaga seluruh rakyat Malaysia, kita tak menjaga segmen-segmen tertentu sahaja Yang Berhormat.

"Namun, pada masa yang sama kita perlu menjadi seorang yang realistik. Apa sahaja tindakan, contohnya penangguhan tol kita telah laksanakan," katanya.

Bagaimanapun, Rosnah berkata kerajaan tidak sekadar berjanji.

"Kita tak pernah buat u-turn tapi kita tangguh lepas tu kita mansuh. Baru sahaja Yang Amat Berhormat (perdana menteri) mengumumkan pemansuhan, kita telah mansuhkan (4 tol)," katanya.

Menjawab soalan Teo mengenai jumlah pampasan yang dibayar kepada empat syarikat konsesi tersebut, Rosnah berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian.

"Jumlah pampasan adalah soal dasar yang akan dibincangkan dan seterusnya akan diumumkan oleh kementerian kewangan.

"Ini adalah perkara yang masih dalam proses perincian, diharapkan YB sabar menanti. Rakan-rakan YB (diharap) tak ambil pendekatan untuk memanipulasikan apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan pihak kerajaan. Saya mohon sebagai rakan ahli-ahli Yang Berhormat," katanya.

Empat plaza tol yang dimansuhkan sebelum ini adalah Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, Plaza Tol Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Plaza Tol  Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL).

Najib bulan lalu berkata beliau membantah dasar tol lebuh raya dan menyalahkan pendahulunya, dipercayai merujuk kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Rosnah dalam jawapan lisannya kepada soalan Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) berkata kos pembinaan lebuh raya yang mula beroperasi antara tahun 1988 dan 2016 adalah dari RM45 juta hingga RM5.9 bilion untuk setiap lebuh raya.

Kos operasi dan penyelenggaraan yang ditanggung oleh syarikat konsesi, sebaliknya, adalah antara RM6.82 juta dan RM1.5 bilion pada 2016.

Selain itu katanya  jumlah kutipan tol oleh syarikat konsesi pada 2016 antara RM27 juta dan RM2.867 bilion.

Lihat Komen
ADS