Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Nazri: Mudah pertahan Najib yang tak salah
Diterbitkan:  Mar 8, 2018 8:30 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

WAWANCARA I Setakat yang diketahui Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak bersalah atas semua pertuduhan terhadapnya berhubung 1MDB.

Oleh itu, anggota Majlis Tertinggi Umno itu mengatakan tidak sukar untuk mempertahankan bosnya itu.

"Pertama sekali, jika anda ingin rasa mudah mempertahankan (seseorang), anda mesti percaya dia tidak bersalah. Jika saya tidak percaya dia tak bersalah, maka ia akan jadi sukar," katanya kepada Malaysiakini.

Berhubung 1MDB menjadi subjek siasatan dan tindakan mahkamah di pelbagai negara, Nazri berkata terdapat perbezaan antara pengurusan firma dan tuduhan terhadap Najib.

"Kita bercakap mengenai penglibatan perdana menteri (dalam skandal itu). Kita tidak bercakap mengenai pengurusan 1MDB.

"Dalam pengurusan syarikat, semuanya dilakukan oleh lembaga pengarah. Sekiranya terdapat sebarang kesalahan atau salahlaku dalam 1MDB, anda tidak boleh mengatakan (ia melibatkan PM)," tegasnya.

Walaupun Najib menafikan menyalahgunakan dana firma itu, pengkritiknya mendakwa beliau mesti bertanggungjawab selaku pengerusi lembaga penasihat 1MDB. Beliau bagaimanapun telah melepaskan jawatan itu.

Tambahan pula, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) juga mengaitkan Najib dan isterinya, yang dirujuk sebagai "Malaysian Official 1" (MO1) dan "isteri Malaysian Official 1" dalam tuntutan pelucuthakan aset berkaitan 1MDB.

DOJ juga menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz dan ahli perniagaan Jho Low, yang digambarkan sebagai rakan keluarga perdana menteri.

Dalam samannya, DOJ mendakwa sejumlah AS$ 731 juta daripada penyalahgunaan dana 1MDB telah dimasukkan ke akaun bank peribadi MO1.

Ini termasuk AS$ 681 juta yang dipindahkan pada Mac 2013 yang dokumen DOJ memetik Peguam Negara Tan Sri Mohammed Apandi Ali sebagai berkata bahawa ia adalah sumbangan peribadi daripada seorang anggota keluarga diraja Saudi.

DOJ dan Apandi menyatakan bahawa pada Ogos 2013 dana berjumlah AS$ 620 juta telah dikembalikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan bahawa MO1 adalah Najib, tetapi mendakwa nama Najib tidak disebut dalam saman itu, dan oleh itu beliau bukanlah subjek siasatan.

'Belanja pilihan raya bawah Najib lebih telus'

Bagaimanapun, Nazri menegaskan tidak ada tuduhan atau siasatan di luar negara yang menunjukkan hubungan langsung antara Najib dan skandal berkenaan.

"Saya hanya cakap mengenai perdana menteri. Sudah tentu, terdapat salah urus 1MDB. Tetapi jika anda kata melibatkan Perdana Menteri? Tiada.

"Berhubung dengan apa-apa pergerakan wang, cakaplah dengan pihak pengurusan 1MDB.

"Sekiranya ada kes di luar negara, teruskan dan bercakap dengan mereka. Ia di luar negeri, dan apa-apa kesalahan yang dilakukan adalah di luar bidang kuasa kita.

"Yang paling penting bagi saya, ia tidak melibatkan Najib," tambah bekas menteri undang-undang itu.

Nazri juga berkata Najib tidak bersalah atas tuduhan berkaitan derma RM2.6 bilion yang disimpan di dalam akaun peribadinya.

Beliau menegaskan perbelanjaan kempen pilihan raya BN di bawah Najib lebih telus daripada semasa era bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini mengetuai pakatan pembangkang.

"Ya.. RM2.6 bilion. Saya lebih suka dia (Najib) memasukkannya ke akaun. Kerana saya tahu berapa banyak wang masuk.

"Saya tidak tahu berapa banyak Dr Mahathir kutip atau belanjakan untuk lima pilihan raya. Kenapa? Kerana dia tidak pernah meletakkan wang itu dalam akaun,"tambahnya.

Berdasarkan petikan daripada wawancara Malaysiakini, Nazri juga mendakwa tidak ada merit untuk menggesa Najib meletakkan jawatan berhubung isu ini.

(Wawancara ini telah diedit agar ringkas dan mudah)

Najib letakkan wang itu ke dalam akaun peribadinya, bukan akaun parti. Pada pendapat anda?

Tak mengapa. Kerana saya tahu apa yang berlaku. Dia (Najib) tidak mahu menjadi ahli perniagaan. Sekiranya anda kutip wang dari seorang ahli perniagaan, maka selepas pilihan raya, anda perlu memberikan kembali dalam bentuk konsesi atau yang lain.

Jika dia meletakkan wang itu dalam akaun parti, maka ia akan melibatkan timbalan presiden dan naib presiden.

Dia tidak mementingkan diri sendiri ... (Najib kata) "Saya tidak mahu melibatkan timbalan saya kerana saya adalah orang yang melakukan rundingan dengan penderma." Jika apa-apa berlaku, seperti sekarang, dia akan menerima kecaman itu seorang diri.

Apa yang dia lakukan adalah untuk parti. Dia telah dituduh dengan pelbagai tuduhan. Adakah anda rasa adil untuk saya diam? Tidak adil. Saya perlu berkongsi beban dengannya.

Saya mahu mempertahankan perdana menteri kerana semua yang dilakukannya adalah untuk parti, dan memasukkan wang ke akaun (peribadi) bukan masalah.

Bagaimana dengan peranan Jho Low dan anak tiri Najib?

Dalam undang-undang, mereka adalah individu yang berbeza. Malah bagi saya, tuduhan yang dibuat terhadap mereka adalah longgar. Mengapa? Kami tak faham Jabatan Keadilan AS. Jika kamu (DOJ) mahu saman, maka saman merekalah.

1MDB bukan hanya mengenai tindakan undang-undang atau melanggar undang-undang. Pihak berkuasa Switzerland dan Singapura mengambil tindakan. Bukan hanya tuntutan undang-undang tetapi juga pergerakan wang diperincikan. Jadi adakah lebih sukar untuk mempertahankan Najib?

Sekarang kita menyamakan 1MDB kepada Najib dan Najib kepada 1MDB. Kita semua sampai pada kesimpulan bahawa 1MDB disamakan dengan perdana menteri.

Saya sangat yakin. Saya ingin mengatakan kepada orang-orang seperti Dr Mahathir yang bertanya mengapa negara-negara lain mengambil tindakan tetapi Malaysia tidak. Ia bukan seperti itu.

Ini kerana kesalahan yang diperkatakan dilakukan di luar negara. Tiada kesalahan yang berlaku di sini dan tidak ada tindakan yang diambil.

Bagaimana dengan derma Saudi?

Kita semua mesti faham di Malaysia tidak ada undang-undang yang anda tidak boleh minta apa-apa sumbangan. Di AS, ada. Walaupun begitu, ia tidak menyalahi undang-undang untuk mendapatkan derma itu. Satu-satunya perkara yang perlu anda lakukan ialah keluarkan resit. Malah untuk RM1. Itulah ... tidak salah untuk mendapatkan derma.

Tetapi masalahnya ialah wang itu berasal dari negara asing?

Tak ada hal. Kita tahu bahawa di AS, Institut Demokratik, Institut Republikan, mereka juga mendermakan wang kepada PKR. Kita semua tahu.

Tetapi bukan sebanyak RM2.6 bilion?

Apa beza antara RM1 dan RM2.6 bilion?

Mari cakap mengenai persepsi di sini. Apabila anak tiri perdana menteri terbabit, seorang ahli perniagaan dikatakan sebagai rakan keluarga dan juga apa yang digambarkan sebagai "skandal kleptokrasi terbesar", adakah salah untuk mengharapkan perdana menteri bertanggungjawab? Dalam demokrasi matang, ahli politik perlu meletakkan jawatan dalam keadaan sedemikian.

Seperti yang saya katakan, itu persepsi. Sekiranya (sesuatu itu) tidak haram, kenapa dia harus pergi? Anda tidak perlu mematuhi standard Barat. Ia hanya persepsi jadi saya tidak bimbang.

 

Lihat Komen
ADS