Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Di mana Shahrir ketika Muhyiddin dipecat, soal Zaid
Diterbitkan:  Mar 12, 2018 12:57 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Datuk Zaid Ibrahim mempertikaikan kegagalan Tan Sri Shahrir Abdul Samad bertindak apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat.

Kata bekas menteri di jabatan perdana menteri itu, tindakan Shahrir (foto, bawah)berbeza apabila beliau menentang Tun Dr Mahathir Mohamad kerana berpendapat bahawa bekas bosnya yang juga adalah timbalan perdana menteri ketika itu, Tun Musa Hitam disingkirkan.

"Di mana Shahrir ketika seorang lagi pemimpin negeri Johor dan bakal calon perdana menteri dipecat kerana Muhyiddin menentang tindakan mencuri wang rakyat.

"Di mana Shahrir ketika institusi-institusi kerajaan digerakkan untuk menutup kes bersejarah negara,” soalnya dalam satu ucapannya di Johor Baharu.

Menurut Zaid, Shahrir, sering dilihat sebagai pemimpin yang berprinsip, dan pernah bertanding pada pilihan raya tahun 1988 dan memenanginya sebagai calon bebas.

"Beliau menang kerana orang Johor kagum dengan keberaniannya untuk mempertahankan seorang pemimpin Johor (Musa), yang mereka harapkan bakal menjadi perdana menteri seterusnya," katanya.

Walau bagaimanapun, Zaid berkata, beliau hairan apabila Shahrir gagal bertindak balas dengan cara sama apabila Muhyiddin yang juga berasal dari Johor, menjadi mangsa.

Bagi Zaid, Shahrir selaku ahli parlimen Johor Bharu yang kini berusia 69 tahun adalah pemimpin yang sudah berubah dan tidak lagi wajar mendapat sokongan rakyat.

Beliau berkata ada yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana mereka beranggapan kehidupan mereka bergantung kepadanya dan ada juga yang tidak tahu tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka.

"Tetapi paling teruk adalah mereka yang tahu segala-galanya tentang perdana menteri tetapi masih menyokongnya dengan segala yang mereka miliki.

"Najib akan terus menjadi perdana menteri selagi ada orang seperti Shahrir terus menang dan mendapat undi kamu,” katanya dalam ucapannya yang juga disiarkan di blognya.

Justeru, Zaid menggesa para pengundi untuk menolak Shahrir dan meruntuhkan kubu BN di Johor Baharu pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata jika penyandang enam penggal itu dikalahkan, kerusi parlimen lain di selatan Johor akan turut tumbang.

Lagi pun, kata Zaid, yang adalah merupakan anggota DAP, sebagai pengerusi Felda, Shahrir mempunyai banyak lagi tugas lain.

"Pengerusi Felda tidak seharusnya menjadi ahli parlimen kerana dia ada terlalu banyak tanggungjawab.

"Felda adalah konglomerat besar, yang cukup mencabar untuk ditadbir dengan lancar, tetapi kini terdapat banyak masalah yang perlu diselesaikan,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS