Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Manifesto: PAS tawar hapus GST juga
Diterbitkan:  Mar 19, 2018 12:01 AM
Dikemaskini: 4:18 PM

PAS bersama Gagasan Sejahtera melancarkan manifestonya pada malam ini dengan menyenarikan sembilan teras serta 20 tawaran utama.

Pelancaran manifesto yang disempurnakan oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu turut dihadiri wakil daripada Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), dan BERJASA

Semasa pelancaran manifesto berkenaan di sebuah hotel di Cyberjaya, terdapat juga gimik yang dilakukan iaitu sepuluh orang pemuda memasuki dewan tempat berlangsungnya acara itu dengan membawa 10 bendera Malaysia.

Antara perkara menarik yang ditawarkan PAS dan Gagasan Sejahtera itu ialah menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan sistem percukaian yang lebih adil.

Antara yang dicadangkan PAS ialah pelaksanaan Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Saham di Bursa Saham Malaysia

Gagasan Sejahtera juga berjanji untuk melupuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi meringkan bebanan anak muda.

Melalui langkah itu kata PAS ia menjadi inisiatif permulaan ke arah pelansakaan pendidikan percuma.

Seperti Pakatan Harapan (HARAPAN) PAS juga mencadangkan pengecualian duti eksais bagi pembeli kenderaan pertama bagi enjin di bawah 1.3cc.

Namun berbeza dengan HARAPAN, PAS menawarkan skim pinjaman tanpa faedah (qardul hasan) bagi pembeli kenderaan pertama.

Tidak pula dinyatakan sama ada skim berkenaan disediakan oleh bank atau kerajaan.

Patut makin lama makin turun

Sementara itu, semasa sidang media pula, ketika ditanya sama ada PAS akan turut menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran di sekolah vernakular, Abdul Hadi tidak menjawab soalan itu dengan jelas.

Sebaliknya, kata Abdul Hadi, berdasarkan kajian yang dibuat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) menunjukkan sekiranya pendidikan dibuat dalam bahasa ibunda, kemajuan akan lebih mudah dicapai.

"Semua negara yang pendidkan (menggunakan) bahasa ibunda mencapai kemajuan. Jerman, Jepun, China, Korea.

"Negara yang mengguna bahasa asing dalam pendidikannya memakan masa yang panjang, merugikan masa, tak boleh melahirkan ilmuan yang mencukupi kerana memakan masa," katanya.

Anggota parlimen Marang itu menambah pendirian itu bukan bermakna PAS mahu menghapuskan "bahasa asing".


Baca Pilih PAS masalah kos sara hidup boleh selesai


"Bahasa asing penting untuk menimba ilmu dari pelbagai pihak. tetapi untuk mengilmukan rakyat sebanyak-banyaknya mestilah dengan bahasa ibunda.

"Bahasa ibunda ini disamping bahasa kebangsaan termasuklah bahasa yang digunakan bangsa di Malaysia ini (iaitu) Cina, Tamil, Iban," katanya.

Ditanya pula mengenai hasrat PAS untuk menstruktur semula kadar bayaran tol, Abdul Hadi berkata perkata itu akan dibuat kajian terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

"(Menstruktur semula) kadar tol, mesti dikaji semula perundingan antara kerajaan dan pihak yang kenakan tol.

"Sepatutnya tol makin lama makin turun (harga), bila selesai (ia) dihapuskan bukan makin lama (harga) makin naik. Itu kita akan lakukan insya-Allah," kata Hadi.

Berikut adalah ringkasan 20 tawaran utama Malaysia Sejahtera yang diumum Abdul Hadi malam tadi:

  1. Menghapuskan GST yang membebankan rakyat dan menggatikannya dengan sistem percukaian yang lebih adil seperti Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Saham di Bursa Saham Malaysia
  2. Melupuskan hutang peminjam-peminjam PTPTN yang sedia ada untuk meringkan bebanan anak muda sebagai satu inisiatif permulaan ke arah memberikan pendidikan percuma
  3. Memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan fakir dan miskin secara bulanan menerusi program It'aam Kebangsaan
  4. Menawarkan bantuan sekali (one-off) sebanyak RM2,000 sebagai modal kepada wanita bekerjaya untuk memulakan kerja dari rumah
  5. Melaksanakan program bas sekolah percuma untuk membantu meringankan bebanan ibu bapa
  6. Memberikan bantuan pembelian kereta pertama di bawah 1300 kuasa kuda menerusi pengecualian duti eksais dan pembiayaan pinjaman tanpa faedah (qardul hasan)
  7. Mengurangkan harga rumah mampu milik antara RM50,000 sehingga RM180,000
  8. Mengembalikan semuala fungsi sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai program untuk memperkasakan golongan miskin bandar dan luar bandar
  9. Menstrukturkan semula kadar bayaran tol untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun
  10. Mewujudkan pentadbiran Malaysia yang bebas rasuah selaras dengan kehendak dan tuntutan syarak menerusi konsep tadbir urus yang berkonsepkan ubudiyyah, mas'uliyyah dan itqan (UMI)
  11. Memperkasakan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam sebagai al-Din iaitu sistem yang melengkapi seluruh aspek kehidupan
  12. Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara
  13. Mengembalikan sistem kuota di IPTA bagi mengimbangi jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin, serta masyarakat bandar dan luar bandar
  14. Mempertimbangkan semula pelaksaan dasar pembangunan yang berupaya membasmi kemiskinan dan menyusun semula ketidakseimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat Malaysia
  15. Membantu kerajaan-kerajaan negeri membuka rancangan-rancangan pembangunan tanah khususnya untuk golongan muda
  16. Membangunkan petempatan baru mampu milik untuk generasi kedua dan ketiga Felda
  17. Membantu golongan OKU menerusi pemerkasaan sistem sokongan berasaskan potensi dan keupayaan diri
  18. Mewujudkan Pusat Komuniti Keluarga Sejahtera (PKKS) di setiap daerah dan lokaliti yang memerlukan untuk memberi khidmat kaunseling, perundangan, kemahiran, bimbingan agama dan latihan keibubapaan
  19. Menyemak kembali nisbah anggota keselamatan berbanding populasi stempat untuk mengurangkan kadar jenayah
  20. Menambah bilangan doktor pakar dan hospital pakar untuk memenuhi keperluan penduduk berasaskan nisbah yang disyorkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
Lihat Komen
ADS