Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PMO dakwa Cambridge Analytica lapor terus pada Mukhriz
Diterbitkan:  Mar 20, 2018 9:45 PM
Dikemaskini: 2:04 PM

Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini mendakwa Datuk Seri Mukhriz Mahathir menggunakan khidmat firma Cambridge Analytica (CA) dan SCL Group, sekali gus bertentangan dengan penafian timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) itu.

"Bertentangan dengan laporan media, sama ada CA atau syarikat induknya SCL Group tidak pernah atau sebelum ini - telah dikontrak, digunakan atau dibayar dalam apa cara oleh BN, PMO atau kerajaan Malaysia.

"Bagaimanapun, wakil SCL hari ini mengesahkan kepada kerajaan bahawa nasihat CA pada Pilihan Raya Umum 2013 diberikan secara peribadi kepada Mukhriz, timbalan presiden BERSATU.

"Wakil SCL juga mengesahkan bahawa beliau melaporkan langsung kepada Mukhriz, bukan BN atau kerajaan," kata PMO dalam satu kenyataan hari ini.

CA, yang memainkan peranan penting dalam kempen pilihan raya Presiden Donald Trump, menjadi tumpuan selepas dituduh menyalahgunakan berjuta-juta data pengguna dari Facebook untuk tujuan politik.

Firma analisis data itu juga dikatakan menyediakan perkhidmatan kepada BN di Kedah pada pilihan raya umum yang lalu.

"BN memenangi Kedah kembali dari Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Dengan kemenangan dalam 21 daripada 36 kerusi negeri dan 10 daripada 15 kerusi Parlimen di negeri ini, BN menikmati kemenangan bergaya," kata CA menerusi laman webnya.

Terdahulu, Mukhriz hari ini menafikan beliau mengetahui mengenai CA atau terlibat dengan firma itu.

"Saya tidak pernah kenal CA atau pernah melibatkan mereka untuk membuat sebarang kerja. Jika mereka mendakwa terlibat dalam PRU13 di Kedah, saya tidak sedar akan perkara tersebut.

"Tiada satupun strategi dan taktik yang saya gunakan sebagai pengarah pilihanraya untuk BN Kedah diambil daripada nasihat CA.

"Barangkali mereka memberi khidmat konsultan dengan Pejabat Perdana Menteri atau ibu pejabat BN," kata beliau kepada Malaysiakini melalui pesanan teks.

Bagaimanapun anggota parlimen Jerlun itu mengaku mengenali Azrin yang mengetuai firma CA di Asia Tenggara melalui syarikat SCL Group.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata beliau hanya bekerja dengan Azrin semasa memegang jawatan timbalan menteri perdagangan dan industri antarabangsa.

"Jika Azrin katakan dia menjadi kakitangan CA semasa bekerja dengan saya, maka itu suatu gambaran yang salah.

"Dia hanya bekerja untuk saya antara tahun 2009-2013 ketika saya di MITI. Saya tidak mengambil beliau bekerja ketika saya berpindah portfolio menjadi menteri besar Kedah," kata beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS