Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Tan Sri Dr Rais Yatim berkata pendekatan berseteru diamalkan parti politik terutama Umno hanya akan merugikan parti itu sendiri.

Bekas pemimpin kanan Umno itu berkata parti itu dulu mengamalkan budaya dan budi bahasa yang tinggi.

"(Sekarang) Jika anda perdana menteri tetapi kini menjadi pembangkang, maka anda tidak boleh dilawati lagi.

"Budaya tegur-menegur pula tidak digalakkan. Jika ahli dalam parti menegur, beliau dianggap orang asing, tak berhemah," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Dalam laporan Sinar Harian minggu lalu, Rais berkata pernah dilarang untuk melawat Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi menteri bawah pentadbiran Tun Abdullah Badawi.

Kini - bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak - beliau diserang pula oleh beberapa pemimpin Umno selepas membangkitkan skandal 1MDB dan individu yang dikaitkan dengannya iaitu Low Taek Jho.

Sebagai seorang yang sering mengangkat soal budaya tinggi dan budi bahasa, beliau pastinya kecewa dengan keadaan itu.

"Kita tidak lagi mengamalkan politik yang santun, (sebaliknya) lebih cenderung kepada politik berlaga dan berseteru.

"Budaya ini mesti dipecahkan kerana amat merugikan kita," katanya lagi.

Tiada yang tegur 

Mengulas lanjut, beliau menyebut gaya politik sesetengah pemimpin Umno yang baginya biadab tetapi tidak ditegur oleh pemimpin tertinggi parti.

"Apa yang ditunjukkan sesetengah pemimpin (Umno) bahagian ketara salah. Misalnya mengusung keranda ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Selangor).

"Tetapi kita lihat tiada teguran daripada (pemimpin peringkat) atas, mereka dibiarkan begitu sahaja," katanya merujuk kepada Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang dikenali dengan gimik politiknya.

Ketika ditanya sama ada ahli politik berbuat demikian sebagai strategi untuk menarik perhatian, beliau berkata ia tetap salah walau apa pun tujuannya.

"Saya berlandaskan agama dan budaya Melayu, bukan beberapa kerat pemimpin parti yang menonjol lantaran sikap kurang ajarnya."

Mati tanpa mayat

Justeru beliau berharap agar budaya tinggi dan ketertiban dapat dikembalikan dalam politik.

"Kalau jenis politik kurang ajar dan kurang tertib inilah yang ingin dibawa dalam Umno dan bukannya budaya Melayu, kitalah yang akan rugi," katanya lagi.

Katanya, Rukun Negara mempunyai asas yang boleh diterapkan dalam amalan politik tetapi prinsip itu sendiri seperti sudah tidak dipedulikan.

"Berapa banyak rukun negara yang diamalkan? Sudah tiada penghargaan terhadap undang-undang, kesusilaan sudah tidak disebut orang.

"Rukun Negara pun sudah ditanam cuma bangkainya tak nampak, mayatnya tak ada," katanya lagi.

 

Lihat Komen
ADS