Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Walau tak petah hujahnya bernas'
Diterbitkan:  Mar 23, 2018 8:59 PM
Dikemaskini: 1:12 PM

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali tampil membela Dr Kamarul Zaman Yusoff setelah seharian pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi sasaran kritikan dan sindiran di media sosial.

Ia ekoran perubahan reaksinya sebelum dan selepas kedatangan Tun Dr Mahathir Mohamad di Wacana Sinar Harian semalam yang membawa tajuk "Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?".

Keratan video yang memperlihatkan bagaimana Kamarul Zaman yang pada mulanya lantang mengkritik bekas perdana menteri itu terpaku selepas ketibaan Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali, turut tersebar meluas.

Namun bagi Khairuddin (gambar), Kamarul Zaman telah menyampaikan hujah yang bernas dan secara akademik ketika program itu.

"Ia perlu dinilai menerusi neraca akademik bukannya emosi.

"Kalau dikatakan beliau 'terkucil' akibat kehadiran Mahathir, ia hanyalah khayalan sebahagian warga maya di kalangan penyerang siber yang bukan keprihatinan mereka (untuk) menilai secara akademik," katanya di Facebook.

Kamarul Zaman hari ini juga menafikan dirinya terkedu sebaliknya merasa teruja dengan kehadiran Mahathir.

Selain itu beliau yang juga pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) UUM mendakwa penganjuran forum itu bertujuan untuk mempromosikan pengerusi Pakatan Harapan itu.

Mengulas lanjut, Khairuddin yang juga Anggota Parlimen Kuala Nerus menceritakan pengalamannya berbincang dalam soal isu semasa dengan Kamarul Zaman.

Beliau berkata walaupun tidak petah berucap, Kamarul Zaman mempunyai pandangan yang sangat bernas dan ia terlibat dalam tulisannya sebelum ini.

"Malah sebahagian penceramah (lain) yang dilihat hebat berbicara (sebenarnya) tidak mempunyai isi yang padat dan bernas," katanya lagi.

Pada Januari lalu, Mahathir diumum sebagai calon perdana menteri HARAPAN untuk pilihan raya umum (PRU) ke-14, dan mereka yang tidak bersetuju antara lain berkata beliau sudah berusia untuk sekali lagi mentadbir negara.

Lihat Komen
ADS