Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua Gerakan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa BERSIH mahu menghalang Perdana Menteri dan anggota parlimen BN lain bagi pembentangan laporan cadangan persempadanan semula di Dewan Rakyat esok.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangai hari ini, terhadap BERSIH yang merancang mengadakan bantahan terhadap perkara itu esok, serentak dengan pembentangan laporan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, beliau mendapat maklumat berhubung tujuan sebenar BERSIH itu dan menyifatkan bantahan esok sebagai satu usaha mencetuskan huru-hara.

"Mereka mahu buat kacau bilau dan ganggu keharmonian, paling membimbangkan, cuba menyekat perjalanan Datuk Seri Najib razak dan anggota parlimen BN untuk ke Dewan Rakyat.

"Pembangkang mempunyai wakil di Dewan Rakyat diketuai Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. Kami sebagai rakyat Malaysia harap pembangkang gunakan platform di parlimen untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

"Ia lebih baik daripada demonstrasi jalanan dan menghasut rakyat membenci kerajaan," katanya.

BERSIH sebelum ini berkata akan menyerahkan memorandum bantahan cadangan persempadanan semula kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mula dan menggesa orang ramai menyertai mereka.

Sekali lagi: Tiada kuning, tiada merah

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar malah mendakwa beliau juga diberitahu seramai 3,000 penyokong BERSIH akan menyertai NGO itu esok.

Beliau sekali lagi mengulangi kata-kata "tidak ada kuning, tidak ada merah", merujuk kepada kumpulannya.

"10,000 orang daripada kumpulan kami sudah bersiap sedia, kami ada 483 NGO yang bergabung bawah Gerakan Baju Merah.

"Kami konsisten bahawa inilah cara kami - kalau mereka tak ada, kami pun tak akan ada," katanya lagi.

Menurut Berita Harian hari ini, polis Kuala Lumpur melarang sebarang bentuk himpunan di luar Parlimen esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terbabit dengan himpunan tersebut.

Lihat Komen
ADS