Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSIH gesa rakyat ke Parlimen bantah persempadanan semula
Diterbitkan:  Mar 24, 2018 2:48 PM
Dikemaskini: 6:53 AM

BERSIH menggesa orang ramai untuk ke Parlimen bagi menyuarakan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula pilihan raya pada Rabu ini iaitu hari laporan berhubung perkara itu dijangka akan dibentang.

Pada masa sama, NGO itu akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mula.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Speaker Dewan Rakyat harus menarik balik laporan tersebut daripada Parlimen. Speaker tidak harus membenarkan pembentangannya sehingga perbicaraan di mahkamah selesai.

"Kita mesti mempertahankan hak memilih kerajaan. Kami menggesa rakyat turun bersama kami ke parlimen untuk menyampaikan memorandum kepada Speaker dan Najib untuk mengemukakan sebab kenapa parlimen tidak harus menerima syor (SPR)," kata Bersih dalam kenyataan, hari ini.

Pada 22 Mac lalu, Pandikar berkata laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perkara itu sudah diberikan kepada semua anggota parlimen tetapi tidak boleh disebarkan sehingga ia dibentang.

Antara pihak yang membawa isu itu ke mahkamah adalah kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.

Selain prosiding mahkamah yang masih berjalan, BERSIH berkata laporan tersebut tidak patut dibentangkan kerana SPR gagal mendengar bantahan orang awam yang telah melakukannya berdasarkan undang-undang.

 

"Perlembagaan Persekutuan juga jelas memberikan tempoh dua tahun kepada SPR untuk melakukannya. SPR menyiarkan notis persempadanan semula pada 15 September 2016, maka mereka ada masa lebih enam bulan untuk menyelesaikannya," katanya.

Dengan itu, BERSIH mendakwa SPR sebagai tidak jujur dan tidak menghormati hak pengundi sebaliknya melanggar proses demokrasi untuk memberi kelebihan kepada parti pemerintah.

Isu persempadanan semula ini turut mendapat perhatian media antarabangsa iaitu majalah The Economist yang mendakwa ia antara langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk 'mencuri' pilihan raya dan "menafikan pilihan pengundi".

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah menyifatkannya sebagai tohmahan tidak berasas namun berkata ia tidak menjejaskan komitmen mereka untuk memastikan PRU ke-14 berlangsung dengant telus dan adil.

Lihat Komen
ADS