Malaysiakini
BERITA

Azwan Bro: Data Invoke adalah data haram

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 27 Mac 2018, 2:21 tengahari

DEWAN NEGARA | Seorang senator hari ini meminta pihak berkuasa berkaitan menyiasat pusat kaji selidik, Invoke Malaysia (Invoke) yang dikhuatiri menceroboh data peribadi kira-kira 15 juta rakyat Malaysia.

Senator Khairul Azwan Harun berkata timbul keraguan terhadap pendekatan dan kaedah yang digunakan Invoke ketika melakukan kaji selidik, sekiranya data yang diperoleh pusat yang diasaskan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli itu tidak sah serta tidak mendapat kebenaran pemilik data.

“Laporan Invoke mengatakan dengan jelas bahawa mereka telah membuat berjuta-juta panggilan telefon. Persoalannya, bagaimana dan cara manakah mereka berjaya memperoleh nombor-nombor (telefon) tersebut?

"Data tersebut adalah data haram selagi mana ia tidak boleh disahkan atau kesahihannya tidak boleh dibuktikan. Saya mohon jawapan pihak berkuasa berkaitan apabila wujud elemen-elemen yang amat meragukan ini,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Khairul Azwan berkata antara hasil kajian yang dibuat pusat kaji selidik itu ialah PAS tidak akan memenangi sebarang kerusi negeri dan Parlimen termasuk di Kelantan serta sokongan kaum-kaum lain terhadap Pakatan Harapan terus meningkat, serta mereka (pakatan) akan memenangi sekurang-kurangnya enam negeri di Semenanjung.

"Yang peliknya, kajian itu tidak dibuat di Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan sekiranya Invoke dijadikan alat bagi mengembangkan pengaruh kuasa asing yang akan menjadi ancaman kepada negara sekiranya tidak ditangani segera.

 


-Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.