Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Idris: Media massa tak ingat dosa, pahala
Diterbitkan:  Mar 28, 2018 2:41 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

PAS mendakwa ada media massa di negara ini mengamalkan taktik Machiavelli apabila sengaja memutarbelitkan kenyataan pemimpin parti berkenaan dan membentuk persepsi buruk.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata taktik yang diamalkan media itu ialah mencipta tajuk yang memburukkan PAS dan 'disambut' oleh tentera siber musuh parti berkenaan untuk diputar dan disebar ke seluruh dunia.

"Lepas dibantah, maka (tajuk berita itu) ditarik balik, tukar tajuk dan minta maaf.

"Ini taktik Machiavelli, matlamat menghalalkan cara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Idris yang juga anggota parlimen Bukit Gantang mendakwa, apa yang dipentingkan media massa itu ialah mencipta berita buruk untuk disebarkan lebih awal.

Hal itu kerana katanya manusia lebih mudah mengingati berita terawal dan pembetulan yang dibuat selepasnya kurang diambil kira.

"Pada mereka tidak ada dalam kamus hidup (mereka) dosa atau pahala, syurga atau neraka," katanya.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas PAS mengecam laporan dibuat Sinar Harian mengenai pendirian parti terbabit dalam isu 1MDB.

Tak minta dilaporkan pun

Laporan itu memetik kenyataan dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa menghadiri program dialog Anak Muda Gagasan Sejahtera di Shah Alam pada 25 Mac lalu.

Sehari kemudian akhbar terbabit menyiarkan permohonan maaf kerana kesilapan dalam laporan berita bertajuk Pas berkecuali isu 1MDB (edisi cetak) dan 1MDB: Jangan terus hukum (dalam talian).

Kata Sinar Harian kedua-dua laporan itu ditulis di luar konteks ucapan Abdul Hadi.

Langkah itu mendapat pujian pemimpin kanan PAS termasuk timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ketua penerangan Nasrudin Hassan.

Malaysiakini turut pernah dipersalahkan oleh PAS semasa melaporkan program solat hajat, munajat dan ceramah perdana di Shah Alam.

Ia membabitkan doa yang dibaca anggota Jawatankuasa PAS Selangor yang juga penceramah popular, Ahmad Dusuki Abd Rani pada 17 Mac lalu.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menggantung serta-merta tauliah yang diberikan kepada Ahmad Dusuki pada 21 Mac bagi membolehkan siasatan dibuat ke atasnya.

Idris berkata PAS menjadi sasaran serangan melampau media cetak dan portal berita ketika pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.


Baca 'Rakyat belum merasa PM daripada PAS'


Sebenarnya kata Idris PAS tidak minta dipuji dan minta dilaporkan pun, sebaliknya hanya mengharapkan berita mengenai mereka dibuat secara jujur.

"Tetapi yang PAS minta hanya jujur dalam pemberitaan.

"Jika benci sangat dengan PAS, tidak perlulah kutip berita daripada PAS. Anggaplah PAS seperti tiada di persada politik di negara ini," katanya.

Idris yang juga bekas pensyarah universiti berkata, musuh PAS menyangka parti itu "akan mati dengan fitnah".

"Insya-Allah PAS tidak mati dengan fitnah ini, selagi PAS berpegang dengan dasar Islam. Sebaliknya pemfitnah akan mati di dalam keadaan yang hina jika mereka tidak bertaubat dan memohon maaf," katanya.

Lihat Komen
ADS