Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi meminta rakyat untuk memilih perdana menteri daripada PAS dengan memenangkan parti itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Beliau berkata negara selama ini hanya ditadbir BN dan malah calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) juga merupakan bekas perdana menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"HARAPAN akan menampilkan bekas perdana menteri yang akan (memegang jawatan itu) semula, sama juga dengan BN (Datuk Seri Najib Razak) yang jadi perdana menteri sekarang.

"Anda sudah ada pengalaman dengan kedua-duanya, tetapi belum ada pengamalan mempunyai perdana menteri daripada PAS," katanya dalam program Dialog Perpaduan Nasional di Shah Alam, hari ini.

Mahathir yang mentadbir negara selama 22 tahun dicalonkan semula ke jawatan itu oleh HARAPAN bagi menempuhi PRU ke-14.

Najib pula dilantik menjadi perdana menteri pada April 2009 dan kini menjadi pemimpin ketiga yang paling lama memegang jawatan itu, selepas Mahathir dan Tunku Abdul Rahman.

PAS menyasarkan meletakkan sekurang-kurangnya calon di 130 kerusi parlimen bagi mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, atau sekurang-kurangnya menyertai pembentukan kerajaan.

Di peringkat negeri pula, parti itu menyasarkan menang di Kelantan, Terengganu, Selangor, Perlis dan Kedah.

Sallehen berkata lagi, rakyat boleh menukar kerajaan pada PRU seterusnya jika PAS gagal mencapai piawaian selama sepenggal mentadbir negara.

"Beri peluang sekurang-kurangnya satu penggal kepada PAS dan kita akan gunakan peluang itu sebaiknya," katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak.

Beliau berkata PAS akan menampilkan majoriti calon daripada golongan muda dan pelbagai kaum pada PRU ke-14.

"Kita tidak ambil calon berumumr 93 tahun ke atas, tetapi yang muda, bertenaga, profesional, dan daripada pelbagai bangsa," katanya lagi.

Di Selangor juga

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam berkata parti itu telah memuktamadkan 90 peratus calonnya namun tidak akan membuat pengumuman seperti parti lain.

Sallehen juga meminta rakyat memberi peluang yang sama kepada parti itu di Selangor.

"Kita tengok bagaimana kita dapat realisasikan dalam sepenggal. Kita ingin membina rasa hormat antara agama dan budaya, ini yang paling penting.

"Sehingga pada pandangan orang Melayu dan Islam, orang bukan Melayu dan bukan Islam adalah saudara. Mereka bukan musuh tetapi saudara," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS