Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakaman audio 'Nik Abduh': Tuan badan dah nafi cukuplah

PAS sekali lagi menegaskan pihak yang menyebar rakaman audio didakwa suara Anggota Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz supaya menunjukkan bukti anak bekas menteri besar Kelantan itu benar-benar orang yang membuat ucapan berkenaan.

Pada masa sama, PAS berpendapat penafian dibuat Nik Abduh sudah memadai dan parti terbabit berpuas hati dengan penjelasan yang diberikannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata penafian daripada "tuan punya diri" adalah mencukupi.

"Setahu saya Ustaz Nik Abduh dah nafikan. Bagi PAS ia sudah cukup dengan penafian itu, sebab tuan punya diri dah menafikannya," katanya.

Sebaliknya kata timbalan menteri besar Kelantan itu orang yang membuat tuduhanlah yang perlu mengemukakan bukti.

"Orang yang bawa (tuduhan) itu kena buktikan, betul ke tak betul," katanya pada sidang media selepas pelancaran Dasar Kanak-kanak Fitrah Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata demikian sebagai mengulas pendedahan versi rakaman suara penuh yang dikaitkan dengan Nik Abduh malam tadi.

Apa yang dinafikan

Rakaman suara itu antara lain mendedahkan beberapa pemimpin PAS ada mengambil wang daripada Umno, selain orang yang dituduh Nik Abduh itu mendakwa mempunyai hubungan dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Beberapa nama turut dipetik dalam rakaman audio itu termasuk Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ketua penerangan Nasrudin Hassan dan menantu presiden parti berkenaan Zaharudin Muhammad.

Ketika petikan pertama rakaman itu disebarkan tidak lama dulu, Nik Abduh sudah membuat penafian.

Katanya dakwaan berkenaan adalah "karut, mengarut dan fitnah" terhadap dirinya serta PAS.

"Ia hanya sampah yang tak layak dimakan kecuali pelahap fitnah seperti PAN (Parti Amanah Negara) dan sekutunya. Saya menafikan sekeras-kerasnya," kata Nik Abduh pada 28 Feb lalu.


Baca Itu bukan suara Nik Abduh, kata MP Kuala Nerus


Namun Naib Presiden AMANAH yang juga wakil rakyat Salor, Husam Musa mempertikaikan kenyataan itu dan bertanya, apa sebenarnya yang dinafikan Nik Abduh.

"Adakah dia nafi suara dalam audio itu suara dia?" katanya.

Mohd Amar berkata ada banyak lagi sebaran rakaman suara yang boleh dipertikaikan jika mahu.

"Sebelum ini banyak sebaran rakaman lain, Mat (Mohamad) Sabu pun ada. Banyak kena ambil kira," jelasnya ringkas.

Mohd Amar bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut rakaman suara Mohamad yang mana dirujuknya dalam kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS