BERITA Malaysiakini

Nik Abduh: Fitnah, karut, mengarut

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membuat penafian berhubung rakaman audio didakwa mengandungi ucapannya yang 'membuktikan' penyaluran wang oleh Umno kepada PAS.

Dalam kenyataan di Facebook malam ini, anggota parlimen Pasir Mas itu menggesa pihak yang menyebarkannya agar bertaubat jika tidak ingin ditimpa balasan Tuhan ekoran memfitnahnya.

"Dakwaan rakaman ucapan saya itu adalah karut, mengarut dan fitnah ke atas diri saya dan PAS yang sejahtera daripada terlibat dalam perkara yang diharamkan termasuk memakan rasuah politik Umno atau membuntut ekor DAP.

"Ia hanya sampah yang tak layak dimakan kecuali pelahap fitnah seperti PAN (Parti Amanah Negara) dan sekutunya. Saya menafikan sekeras-kerasnya," katanya.

Rakaman selama seminit 18 saat itu mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanan PAS.

Antara lain, wang berkenaan adalah untuk kegunaan pada pilihan raya negeri Sarawak dan untuk menjatuhkan DAP.

Ia dimuatnaik oleh Ketua Pemuda AMANAH Kelantan Hazmi Hassan di Facebook semalam.

Beliau berkata tidak dapat memastikan sejauh mana kebenarana audio itu dan meminta Nik Mohamad Abduh memberikan penjelasan.

Hari ini beliau memuatnaik bahagian kedua rakaman audio tersebut yang berdurasi 49 saat namun kandungannya tidak memiliki apa-apa dakwaan baru.

Terdahulu, Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi menyifatkan rakaman tersebut sebagai usaha jahat untuk memfitnah parti itu.