Berita Malaysiakini

Dr M, Najib berbeza, tapi sama tak layak jadi PM

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seorang veteran PAS berkata, peluang rakyat untuk memilih pemimpin semasa pilihan raya umum (PRU) mendatang ini jangan disia-siakan.

Katanya pengundi mestu memilih seorang tokoh yang mempunyai sifat seperti bersih, bermaruah, berakhlak mulia, berintegriti serta boleh dipercayai.

Namun dalam tulisan terbarunya hari ini Subky Latif menegaskan sifat berkenaan tidak ada pada Datuk Seri Najib Razak atau Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagi bekas pengarang kanan Utusan Melayu itu mereka tidak sesuai menduduki jawatan perdana menteri, sama ada untuk menyambung sepenggal lagi (bagi kes Najib) atau sekadar pemimpin sementara (Dr Mahathir).

"Sepatutnya dengan pengalaman yang banyak dapat menjadikan mereka pemimpin yang baik dan bewibawa, tetapi mereka (Najib dan Dr Mahathir) gagal pemimpin yang bersih, mulia, berwibawa dan bermoral," katanya seperti disiarkan harakahdaily.

Subky yang pernah menjadi ketua pengarang Harakah serta anggota Jawatankuasa Pusat PAS menambah kedua-dua tokoh terbabit boleh dianggap diktator melalui cara masing-masing.

"Seorang keras dan garang iaitu Dr Mahathir, dan seorang lagi lembut (yang) pijak semut pun tak mati.

"Tapi kalau yang dipijak itu tikus, tikus itu mati," katanya yang terkenal dengan tulisan yang tajam, menyindir dan pedas.

Nyawa nona Mongolia melayang

Kerajaan dijangka akan membubarkan parlimen pada bila-bila masa saja dalam tempoh terdekat ini walaupun penggal yang diperoleh melalui PRU ke-13 lalu hanya berakhir pada hujung Jun ini.

Najib mengepalani BN untuk cuba mendapatkan mandat sekali lagi bagi terus menerajui kerajaan, manakala Pakatan Harapan (HARAPAN) mempertaruhkan karisma Dr Mahathir untuk mendapatkan undi.

Jika BN berjaya mengekalkan kuasanya, Najib akan menjadi perdana menteri bagi penggal ketiga (sejak 2009). Dr Mahathir pula pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun sejak 1981.

Kata Subky rakyat Malaysia serta masyarakat luar sudah berpengalaman dengan pentadbiran Najib dan Dr Mahathir.

Menurutnya sifat kuku besi tidak semestinya diterjemahkan melalui tindakan garang, keras dan kasar.

Seorang diktator itu, kata Subky, boleh kelihatan selalu senyum dan lemah lembut di depan orang ramai, namun sifatnya "betul-betul besi" sehingga digeruni semua orang.

"Diktator lembut itu kadang-kadang lebih menggerunkan daripada yang kasar," katanya.

Menurut beliau lagi antara tuntutan sesebuah kerajaan ialah menjaga nyawa.

"Dr Mahathir gagal menyelamatkan nyawa 14 rakyat awam dan empat anggota polis dalam kejadian berdarah di Memali.

"Najib pula gagal melindungi nyawa nona dari Mongolia, Altantuya, yang melancong ke sini. Bahkan mayatnya diberitakan diletupkan berkecai.

"Keluhuran undang-undang yang menjadi satu daripada Rukun Negara tidak dilihat berjaya digunakan bagi menyelesaikan kedua-dua pencabulan atas kehendak maqasid syariah itu.


Baca 'Rosmah pasti buat sesuatu jika benar saya dengan Altantuya'


"Dr Mahathir tidak menggunakan kuasanya menyelesaikan pembunuhan di Memali melalui undang-undang. Selain tiada siasatan dilakukan, saman mangsa Memali yang difailkan tidak diusik mahkamah hingga peguam yang membela mereka mati dan mangsanya yang beratus orang, tidak ramai lagi yang ada.

"Bahkan pembunuhan nona Altantuya masih belum diselesaikan oleh undang-undang kita. Apakah kita menunggu Najib mati baru hendak diselesaikan?" katanya.

Turut disentuh Subky ialah isu pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai ketua hakim negara pada zaman Dr Mahathir, serta pemberhentian tugas Tan Sri Abdul Gani Patail semasa siasatan skandal 1MDB.

"Dr Mahathir tidak menyekat amalan rasuah berleluasa, dan Najib juga tidak mampu membendung rasuah yang berganda-ganda di zamannya.

"Berguni-guni duit Bank Negara lesap dalam niaga mata wang asing pada zaman Dr Mahathir dan berbilion-bilion duit 1MDB hilang di depan mata Najib," katanya.