Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persempadanan semula: BN Johor lebih selamat di 4 kerusi marginal

PRU14 | Persempadanan semula kawasan pilihan raya di Johor mungkin menyaksikan kedudukan BN menjadi lebih baik daripada pilihan raya umum yang lalu, dengan mengambil kira trend pengundian tidak berubah dan tiada tsunami Melayu anti-establishment.

Menurut analisis Malaysiakini, sempadan baru mungkin akan membantu kemenangan BN dengan majoriti besar di kerusi parlimen Muar dan Pulai serta kerusi DUN Mahkota dan Paloh.

Muar, Pulai dan Mahkota adalah kerusi di mana penyandangnya adalah dari Umno manakala penyandang DUN Paloh adalah dari MCA. Keempat-empatnya merupakan kerusi marginal bagi BN.

Sementara itu, sempadan baru mungkin menjejaskan kedudukan dua kerusi DAP - Pengkalan Rinting dan Pekan Nenas.

Secara keseluruhan, terdapat 19 daripada 26 kawasan Parlimen di Johor yang telah berubah sempadan - Pagoh, Ledang, Bakri, Muar, Parit Sulong, Ayer Hitam, Sri Gading, Simpang Renggam, Kluang, Sembrong, Mersing, Tenggara, Kota Tinggi, Johor Bahru, Pulai, Gelang Patah, Kulai, Pontian dan Tanjung Piai.

Sementara itu, 34 dari 56 kerusi DUN mempunyai sempadan baru - Bukit Serampang, Jorak, Gambir, Serom, Bentayan, Sungai Abong, Maharani, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Parit Yaani, Parit Raja, Semarang, Machap, Layang- Layang, Mengkibol, Mahkota, Paloh, Kahang, Endau, Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor Lama, Tanjong Puteri, Pengkalan Rinting, Skudai, Nusa Jaya, Bukit Batu, Benut, Pulai Sebatang, Pekan Nenas dan Kukup.

Di Muar, ekoran persempadanan semula itu, daerah pengundian Bandar Barat - kawasan majoriti Cina yang menjadi kubu pembangkang - berpindah ke kawasan Parlimen Bakri.

Ini mungkin akan memberi manfaat kepada penyandang MP Muar, Timbalan Menteri, Datuk Razali Ibrahim, yang mengekalkan kerusi beliau pada 2013 dengan majoriti tipis empat peratus.

Dengan mengandaikan semuanya kekal sama, Muar, tanpa Bandar Barat, boleh menggandakan undi majoriti Razali dan menyukarkan bagi lawannya - termasuk Ketua Pemuda BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

 

Di Pulai, lima daerah pengundian dipindahkan ke dua kawasan parlimen yang lain. Daripada lima, empat mempunyai majoriti pengundi Cina manakala daerah pengundian Ulu Ayer Molek adalah kawasan majoriti Melayu yang menyokong calon PAS pada tahun 2013.

Dengan mengandaikan semuanya kekal sama, MP Pulai dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed majoriti boleh naik sebanyak 57 peratus.

 

Dijangkakan persempadanan semula itu akan meningkatkan majoriti anggota exco negeri Datuk Md Jais Sarday untuk kerusi DUN Mahkota, di mana beliau mengetepikan calon PAS dengan hanya 1,108 undi pada tahun 2013.

Ini kerana daerah pengundian Padang Tembak, yang mempunyai majoriti pengundi Melayu di mana BN menang dengan hanya 135 undi majoriti, telah dipindahkan dari kawasan pilihan raya Mengkibol.

Pada masa yang sama, tiga daerah pengundian dengan majoriti pengundi Cina - Kampong Paya Timor, Kampong Paya Barat dan Kampong Melayu Timor - yang berpihak kepada pembangkang pada tahun 2013, akan berpindah dari Mahkota ke Mengkibol.

Bagi Paloh, yang mana MCA menang dengan majoriti 103 undi pada 2013, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memasukkan daerah pengundian Felda Kahang Barat ke kawasan pilihan raya itu, yang mana BN menang sebelum ini dengan majoriti besar.

Dengan mengandaikan semuanya kekal sama, MCA boleh memenangi Paloh sekurang-kurangnya dengan undi majoriti empat angka.
 
DAP mungkin hilang dua kerusi

Dalam pilihan raya lepas, Cheo Yee How dan Yeo Tung Seong dari DAP mengalahkan calon MCA masing-masing dengan 1,970 undi majoriti dan 2,669 undi majoriti di Pengkalan Rinting dan Pekan Nenas.

Selepas persempadanan semula, Pengkalan Rinting akan kehilangan lima daerah pengundian, iaitu Ulu Ayer Molek, Kebun Teh, Jaya Mas, Selesa Jaya dan Sri Sinding - dengan semua bahagian daerah pengundian bagi kerusi Parlimen Pulai dirombak.

DAP memperoleh 2,341 undi majoriti di lima daerah pengundian itu. Sekiranya majoriti dikecualikan, DAP mungkin kalah kepada MCA dengan majoriti 371 undi.

Mengenai kerusi DUN Pekan Nenas, SPR menambah daerah pengundian Parit Kudus dan Tanjong Ayer Hitam, dari kerusi DUN Pulai Sebatang. Kedua-dua daerah mengundi dengan majoriti pengundi Melayu berpihak kepada BN dengan memberi 1,065 undi majoriti pada pilihan raya umum lepas.

Sementara itu, SPR memindahkan daerah pengundian Parit Mesjid dan Parit Mesjid Darat ke kerusi DUN Pulai Sebatang, di samping memindahkan dua lagi kawasan pengundian iaitu Jalan Rimba Terjun dan Kampong Duku ke kerusi DUN Kukup.

Kecuali daerah pengundian Parit Mesjid Darat dengan majoriti pengundi Melayu, tiga yang lain adalah kawasan majoriti kaum Cina. dengan DAP memperolehi majoriti 2,861 undi di situ.

Persempadanan semula itu mungkin menyaksikan DAP kehilangan Pekan Nenas dengan 1,257 undi majoriti.

 

 
Kerusi tunggal AMANAH dalam bahaya

Sebaliknya, Parit Yaani, satu-satunya kerusi yang akan ditandingi AMANAH Johor, mungkin dalam bahaya yang lebih besar selepas persempadanan semula itu.

Mula-mula, Parit Yaani akan kehilangan daerah pengundian Taman Sri Saga yang bermajoriti pengundi Cina, kepada kerusi DUN Parit Raja sebagai pertukaran bagi daerah pengundian Parit Jambi yang bermajoriti pengundi Melayu dari kerusi DUN Semarang.

Pembangkang memenangi kawasan pengundian Taman Sri Saga dengan 571 undi majoriti manakala BN memperoleh Parit Jambi dengan 175 undi majoriti.

Dalam pilihan raya lepas, ketua AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan (gambar), yang ketika itu bersama PAS, hanya menawan Parit Yaani dengan 1,188 undi majoriti. Dengan persempadanan semula, undi majoritinya mungkin berkurangan kepada 445 undi majoriti, sekaligus meletakkan Aminolhuda dalam kedudukan bahaya kerana PAS boleh menyertai pertarungan tiga penjuru.

 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS