Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang menggunakan ungkapan 'kalau saya tuhan' ketika bertikam lidah di parlimen dengan wakil BN.
Kenyataan Hanipa itu sebelum ini mendapat kecaman dan reaksi pelbagai pihak termasuklah ada yang memintanya bertaubat.
"Saya sedar ada pihak agama tertentu mengkritik saya dan menyatakan kenyataan saya bercanggah dengan akidah. Saya hormat kenyataan mereka.
"Tapi saya mohon maaf kerana saya tidak akan tarik balik kenyataan saya tersebut. My concscience is very clear (niat saya jelas).
"Ada juga minta saya bertaubat dan istighfar. Terima kasih kerana ingatkan saya. Taubat, is after all, an ongoing process anyway (taubat adalah proses yang bereterusan).
"Bagi yang maki hamun saya, insyaAllah saya tak marah, malahan saya sedia maafkan jika andainya mereka bersalah kepada saya. Saya, insyaAllah, a firm believer kepada freedom of speech and expression (percaya kepada kebebasan bersuara dan berkspresi)," katanya.
Hanipa menjelaskan, meskipun pelbagai kritikan yag dilemparkan kepadanya berhubung isu itu, beliau merasakan semakin dekat dengan tuhan dan bersyukur kerana mendapat sokongan ahli keluarga.
Pendapat luar gelanggang
Terdahulu, Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang mengulas perkara itu mengingatkan bahawa ungkapan berkenaan sangat bahaya kepada akidah orang yang mengucapkannya.
Ini kerana, jelas Mohd Asri, ungkapan berkenaan seakan menggambarkan apa yang dilakukan tuhan selama ini tidak tepat atau salah.
Justeru, kata Mohd Asri yang tidak menyebut nama Hanipa, orang yang menggunakan ungkapan itu perlulah bertaubat kerana dikhuatiri menafikan hikmah ciptaan tuhan.
Sementara itu, Hanipa menegaskan beliau berterima kasih dan hormat pandangan semua pihak.
Bagaimanapun, tambahnya, pihak yang ingin menghukum seseorang perlulah baca dan dengar secara keseluruhan ucapan orang yang ingin dihukum.
"Itu baru, bagi saya, kaedah sebenar dalam menghukum. Memberi pendapat di luar gelanggang dan menjatuhkan hukum kepada seseorang, memang secara relatifnya, lebih mudah.
"Sedangkan membela nasib rakyat yang tertindas di hadapan rejim kleptokrasi yang dibela oleh ramai kaki pengampu dan pembodek dan dikawal oleh pelbagai agensi yang drakonian dan 'pemberi nyawa' serta sanggup guna hujah agama untuk bela rejim kleptokrasi tidak semudah itu, saudaraku.
"Ia menjadi lebih sukar bila ada puak-puak agama yang agak "slow" untuk bersuara menentang rejim kleptokrasi tapi agak laju sepantas kilat mencari hukum tertentu untuk dikenakan kepada mereka yang menentang rejim si kleptokrat," katanya.
Hanipa juga menolak tanggapan bahawa beliau enggan menarik balik kenyataannya kerana ego.
"Ada kata saya ego sebab tak mahu tarik balik. A'udzubillah ( Saya berlindung kepada Allah ). Tapi katalah apa sahaja yang anda mahu. Ini hari anda untuk bergembira.
"Ibu saya selalu nasihat saya jika kita tak bersalah jangan risau apa orang kata, jika kita bersalah, orang tak kata pun kita kena risau," katanya.
Pada sesi parlimen 29 Mac lalu, Hanipa bertikam lidah dengan Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang mendakwa bekas pemimpin PAS itu berlagak seperti tuhan kerana menjangkakan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memenangi pilihan raya umum (PRU).
Hanipa membalas dengan berkata: "Kalau saya tuhan - nasib baik saya bukan tuhan - kalau saya tuhan dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang saja, tapi sebab saya tak (bukan) tuhan."
Pertikaman lidah itu terjadi ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Akta Antiberita Tidak Benar.
