Malaysiakini BERITA

'Kalau' Hanipa panaskan Dewan Rakyat

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan  |  Dikemaskini

PARLIMEN | Sidang Dewan Rakyat hari ini panas apabila Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang) diserang wakil PAS dan BN ekoran kenyataannya semasa bersoal jawab dengan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling).

Asalnya Abdul Azeez menegur Hanipa dengan mendakwa bekas pemimpin PAS itu berlagak seperti tuhan kerana boleh menjangkakan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memenangi pilihan raya umum ke-14 ini.

Hanipa menjelaskan beliau bukan tuhan, dan kalau beliau adalah tuhan, Abdul Azeez tidak akan diciptakan.

"Kalau saya tuhan - nasib baik saya bukan tuhan - kalau saya tuhan dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang saja, tapi sebab saya tak (bukan) tuhan," katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Akta Antiberita Tidak Benar hari ini.

Kenyataan itu mendorong Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) bangkit untuk menasihati Hanipa apabila ia membabitkan isu agama.

Ia kemudian disokong oleh Abdul Azeez serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shahidan Kassim.

Bagaimanapun Hanipa enggan memberi laluan lebih lanjut kepada Khairuddin untuk mencelah dan menegaskan beliau menggunakan ungkapan "kalau" dalam ucapannya.

Tidak akan tarik balik

Terdahulu Hanipa menyatakan BN tidak boleh memandang mudah RUU itu kerana ia tidak semestinya menjadi ancaman kepada HARAPAN.

Sebaliknya kata Hanipa yang turut berkhidmat sebagai peguam, sekiranya HARAPAN menang pada pilihan raya umum akan datang, orang pertama yang mereka akan tangkap ialah daripada BN.

"Kamu ini tuhan ke boleh tahu kalah, menang? Kamu belum tahu, kita dua ini bila balik rumah belum tentu tahu esok hidup tau.

"Nak cerita pasal pilihan raya... Allahuakbar," kata Azeez.

Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam) turut bangkit meminta Khairuddin turut menasihati Abdul Azezz, dan bukannya Hanipa saja.

Ekoran kenyataan itu juga, Azeez bangun semula dan menadah tangan berdoa supaya Allah mengampunkan dosa-dosa Hanipa.

"Ya Allah kau ampunkan dosa-dosa Sepang (Hanipa), kau kesianlah dia, ya Allah ampunkanlah dosa-dosa dia ya Allah," doa Azeez.

Bagaimanapun, bekas anggota jawatankuasa Pusat PAS itu tetap berkeras tidak mahu menarik balik kenyataan berkenaan.

"Saya tidak akan menarik balik. Faham tak? Saya tidak akan menarik kata-kata kalau saya tuhan. Saya cuma kata kalau, jikalau," tegas Hanipa.


Baca RUU antiberita palsu dibentang untuk bacaan kedua


Shahidan kemudian bangun mempertikaikan bahawa mahkluk tidak boleh disamakan dengan tuhan.

Hanipa kemudian meminta dalil mengenai perkara itu.

Khairuddin kemudian bangun dan dengan tegas memberitahu bahawa perkara ini melibatkan akidah Islam.

"Saya minta tarik balik. Saya minta Sepang tarik balik. Ini akidah Islam, saya bersedia beri dalil.

"Ini berkaitan akidah Islam awak cabar untuk bagi dalil. Saya nak bagi dalil dengan al-Quran dan hadis," kata Khairuddin.

Selepas kekecohan selama kira-kira dua minit antara Hanipa dan Khairuddin itu, Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee memberitahu bahawa perkata yang diucapkan Hanipa merupakan sebahagian daripada pendiriannya dan tidak termasuk dalam Peraturan Mesyuarat.

"Yang dikatakan itu tak termasuk dalam Peraturan Mesyuarat. Biarkan ia jadi sebahagian pendirian YB Sepang," kata Ronald sebelum menangguhkan Dewan Rakyat.