Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bubar RAMD: Najib sebar berita palsu, kata PKR
Diterbitkan:  Apr 1, 2018 2:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebarkan "berita palsu" apabila mengatakan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) mungkin akan dibubar jika salah memilih kerajaan, kata Anggota Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin.

Sim berkata sebaliknya HARAPAN dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mereka berjanji akan meningkatkan kebajikan kepada anggota dan bekas tentera.

"PM kata Pakatan Harapan akan hapuskan RAMD itu #BeritaPalsu bermotif politik," katanya dalam catatan di Facebook.

Najib pada majlis makan malam bersama anggota polis dan tentera Jumaat lalu berkata RAMD mungkin dibubarkan jika kerajaan yang mengamalkan konsep Malaysian Malaysia dipilih.

Walaupun tidak merujuk kepada mana-mana parti, beliau secara jelas merujuk kepada DAP.

Sim berkata beliau pernah menjadi Leftenan Muda Askar Wataniah bertauliah dan sepanjang latihan dilatih untuk menyatakan taat setia kepada raja dan negara.

"Kesetiaan kepada PM dan kerajaan tidak termasuk dalam latihan," katanya dipercayai mengulas ucapan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada majlis tersebut.

HARAPAN akan pertahankan RAMD

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar turut menyamakan kenyataan Najib seperti "berita palsu" dan menegaskan HARAPAN akan mempertahankan kewujudan RAMD.

"Tidak syak lagi kerajaan tidak boleh bertindak secara tidak adil dalam undang antiberita palsu. Rakyat Malaysia tiada pilihan kecuali menolak rang undang-undang ini secara keseluruhannya," tambah beliau merujuk kepada Rang Undang-Undang Antiberita Palsu 2018 yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Nurul berkata PKR mempunyai rekod dalam memperjuangkan hak lebih 450,000 veteran tentera di seluruh negara.

"Ahli-ahli parlimen kami telah menyampaikan kekecewaan para pesara tentera terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera kerana agihan imbuhan dan dividen yang tidak mencukupi kepada mereka," katanya.

Nurul juga menegaskan PKR telah mencalonkan Laksamana Pertama (B) Datuk Mohamad Imran Abdul Hamid dalam pilihan raya lepas sebagai pengiktirafan terhadap jasa bekas pegawai tentera.

Terdahulu hari ini, kumpulan veteran tentera, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata adalah "mustahil" bagi mana-mana pihak untuk membubarkan RAMD kerana rejimen itu dilindungi perlembagaan dan sejarahnya yang panjang.

Lihat Komen
ADS