Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hampir mustahil RAMD dibubarkan, kata Patriot
Diterbitkan:  Apr 1, 2018 11:08 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Hampir mustahil bagi mana-mana pihak membubarkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) kerana ia dilindungi perlembagaan serta sejarahnya yang panjang, kata Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot).

Presiden Patriot, Mohamad Arshad Raji berkata beliau dan pegawai-pegawai yang telah bersara dari RMAD khuatir dengan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai rejimen tertua dalam angkatan tentera darat itu.

Najib Jumaat lalu dalam satu majlis makan malam bersama anggota polis dan tentera memberi amaran bahawa RAMD mungkin dibubarkan jika rakyat salah memilih kerajaan.

"Kita perlu faham sejarah penubuhan RAMD dan menyedari bahawa hampir mustahil untuk membubarkan atau membuat pengisytiharan yang berlebihan mengenai Rejimen Askar Melayu Diraja.

"Saya katakan ini dengan niat yang sangat jelas, bahawa tidak ada kerajaan atau mana-mana bakal kerajaan yang mahu membuat perisytiharan sedemikian, bukan hanya atas sebab-sebab sejarah, tetapi lebih penting lagi perkaitan Rejimen Askar Melayu Diraja dengan Raja-raja Melayu ..." kata Arshad dalam satu kenyataan hari ini.

RAMD ditubuhkan pada 1933 oleh kerajaan kolonial British dan merupakan pasukan tempur infantri tertua dan tertinggi dalam angkatan tentera.

Batalion pertamanya ditugaskan mengadakan upacara kawalan kehormat dan istiadat dalam acara-acara rasmi yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong.

Arshad berkata, kenyataan Najib yang jelas ditujukan kepada pembangkang tidak memberikan petanda yang baik kepada perpaduan negara.

"Walaupun perdana menteri tidak secara khusus menyatakan apa yang dia maksudkan dengan 'Malaysian Malaysia', orang boleh andaikan beliau merujuk kepada parti pembangkang, terutama DAP kerana ia merupakan parti yang menyokong konsep Malaysian Malaysia' sejak 1970-an"

"Parti itu menggugurkan konsep berkenaan sebagai slogan dua dekad lalu, (tetapi) jelas PM menyindir sebuah kerajaan yang dipimpin DAP jika pembangkang menang pilihan raya.

"Kami pasti kenyataan beliau juga akan memperkecilkan raja Melayu," tambahnya.

Semalam, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang memberi jaminan DAP akan mempertahankan RAMD sepertimana parti itu mempertahankan sekolah aliran Cina dan India di negara ini.

Kenyatan politik 

Arshad turut mengulas ucapan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang menyeru anggota tentera dan polis menyatakan kesetiaan mereka kepada kerajaan.

"Patriot menyamakan kenyataan itu dengan pernyataan politik, yang mengheret dua pasukan bersenjata ke dalam politik.

"Ini bercanggah dengan tradisi lama bahawa kedua-dua pasukan keselamatan harus menjauhi politik dan berkhidmat kepada Raja dan negara.

"Adalah sukar dimaafkan dan memalukan bagi penulis ucapan dari Kementerian Pertahanan yang tidak tahu mengenai protokol sedemikian," katanya.

 

Lihat Komen
ADS