Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ungkapan 'kamu ini tuhankah' dan 'kalau saya tuhan' haram dilafazkan
Diterbitkan:  Apr 1, 2018 10:15 PM
Dikemaskini: 2:42 PM

Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH) Ahmad Awang berkata, kedua-dua ungkapan "kamu ini tuhankah" dan "kalau saya tuhan" adalah termasuk sebagai lafaz tasybih (perumpamaan) yang diharamkan untuk dilafazkan.

Kesan daripada melafazkan perkataan itu, katanya, boleh menjejaskan akidah tauhid orang yang melafazkannya.

"Setelah mentelaah pendapat serta fatwa para ulama mutabar (salaf dan khalaf), didapati mereka sepakat memfatwakan bahawa mengucapkan lafaz yang mentasybihkan atau memperumpamakan makhluk dengan Tuhan samada pada zatNya atau perbuatanNya atau sifat dan namaNya, hukumnya adalah haram dan dilarang keras mengucapkannya sama ada secara terang ataupun sindiran," katanya.

Ahmad berkata demikian sebagai mengulas  ungkapan yang digunakan oleh Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin dalam pertikaman lidah di parlimen 29 Mac lalu.

Jelas Ahmad, setelah meneliti rakaman video dan hansard Parlimen berhubung perkara itu, kedua-dua Azeez dan Hanipa terlibat melafazkan perkataan mengumpamakan makhluk dengan tuhan.

"Oleh yang demikian, sebagai sahabat dan saudara dalam Islam, saya dengan ikhlas menasihati kedua-dua anggota parlimen berkenaan supaya bersegera memohon keampunan kepada Allah dan berinabah (bertaubat) kepadaNya," katanya.

Menurut Ahmad lagi, apabila seseorang telah melafazkannya dengan sengaja atau terlanjur maka ia tidak terbatal dengan hanya menarik balik apa yang telah dilafazkan.

Ini kerana, jelasnya, perlanggaran ke atas hukum larangan adalah perlanggaran ke atas hak Allah, maka orang yang melafazkannya perlu memohon keampunan daripada Allah.

Ahmad turut mengingatkan agar pihak-pihak lain berhenti membuat kenyataan yang akan hanya menambah kesalahan.

"Nasihat ini semata-mata kerana menunaikan kewajipan sesuai dengan sabda Rasulullah SAW bahawa "agama itu nasihat".

"Isu ini tidak perlu diambil kesempatan oleh mana-mana pihak untuk kepentingan politik apatah lagi untuk mengalihkan topik perbahasan yang sebenar bagi melindungi kezaliman kerajaan kleptokrasi yang berterusan menyalahgunakan kuasa untuk terus menipu dan menindas rakyat.

"Sehubungan dengan ini, sukalah saya menasihati semua pihak agar berlaku adil jika hendak mengulas isu ini dengan menegur kedua-dua ahli parlimen berkenaan. Bukan dengan hanya menujukan sasaran teguran kepada anggota parlimen Sepang semata-mata," katanya.

Pada sesi parlimen yang membahaskan membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Akta Antiberita Tidak Benar, Hanipa bertikam lidah dengan Azeez dengan mendakwa bekas pemimpin PAS itu berlagak seperti tuhan kerana menjangkakan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memenangi pilihan raya umum (PRU).

Hanipa membalas dengan berkata: "Kalau saya tuhan - nasib baik saya bukan tuhan - kalau saya tuhan dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang saja, tapi sebab saya tak (bukan) tuhan."

Ungkapan yang digunakan dalam pertikaman lidah itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Asri sebelum ini turut berkata, ungkapan yang digunakan dalam pertikaman lidah itu dikhuatiri merendahkan penciptaan dan menafikan hikmah ciptaan tuhan.

Lihat Komen
ADS