Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jho Low tiada kaitan tapi dekat dengan 1MDB'
Diterbitkan:  Apr 3, 2018 8:30 AM
Dikemaskini: 12:23 AM

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menjelaskan hubungan antara syarikat pelaburan negara dan hartawan kontroversi Jho Low.

Dalam temu bual dengan majalah berita Indonesia, Tempo, Arul Kanda mengulangi kenyataan bahawa Low ialah bekas penasihat kepada syarikat sebelum 1MDB, Terengganu Investment Authority (TIA) dan telah meninggalkan syarikat itu pada bulan Mei 2009 setelah memegang jawatan penasihat firma tersebut hanya untuk tempoh sebulan.

Bertentangan dengan dakwaan Low meneruskan hubungan dengan 1MDB, Arul Kanda berkata ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu telah bertindak bagi pihak PetroSaudi International semasa mesyuarat bulan September 2009, apabila kedua-dua syarikat itu berunding mengenai perjanjian usaha samanya.

"Jho Low dekat dengan perniagaan di Arab Saudi, Qatar, Abu Dhabi, Dubai dan Kuwait. Itulah kepakarannya.

"Jadi dia bertindak bagi pihak mereka dan bukan kami, ini penting kerana pihak pembangkang sentiasa mengaitkan Jho Low dengan 1MDB," Arul Kanda dipetik berkata demikian.

Menjawab soalan jika beliau melihat Jho Low sebagai 'broker' untuk perjanjian 1MDB-PetroSaudi, beliau berkata: "Ya, dia broker."

"Dia kenal Putera Turki bin Abdullah, pengasas dan bos Petro Saudi. Putera Turki ialah anak kepada Raja Arab Saudi, Abdullah bin Abdulaziz," katanya.

Sewaktu Jho Low menguruskan perjanjian itu, Arul Kanda berkata hartawan itu sudah pun kenal bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, kerana ia merupakan sebahagian daripada pengurusan TIA.

"Jadi itulah pertalian (antara Jho Low dan 1MDB)," tambahnya.

Arul Kanda memberitahu Tempo bahawa 1MDB telah melabur AS$ 1.83 bilion ke PetroSaudi dari 2009 hingga 2011 sebagai sebahagian daripada perjanjian usahasama dua syarikat itu.

Beliau turut menegaskan 1MDB telah mendapat keuntungan daripada perjanjian itu.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dalam pemfailan pertama samannya pada Jun tahun lalu menggariskan tiga fasa dana 1MDB didakwa diselewengkan - salah satunya ialah perjanjian yang disebut Arul Kanda itu.

DOJ mengenal pasti perjanjian itu sebagai 'fasa Good Star' di mana 1MDB telah melabur sebanyak AS$ 1.83 bilion dan sejumlah AS$ 1.03 bilion wang tersebut didakwa disalurkan kepada Good Star Limited, milik Jho Low.

1MDB kemudian mengisytiharkan syarikat itu telah menjual pelaburan tersebut dan menerima AS$ 2.318 bilion dalam bentuk saham, termasuk keuntungan AS$ 488 juta terhadap pelaburan asalnya.

'Jho Low tiada kaitan Najib'

Dalam temubual itu juga, Arul Kanda berpendapat Low tidak mempunyai hubungan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Tetapi dia dekat dengan 1MDB," katanya, dan menambah beliau juga tidak menyedari hubungan Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz.

"Saya tidak tahu, Jho Low tidak pernah memberitahu saya, Najib juga tidak pernah memberitahu saya," katanya.

Skandal 1MDB menjadi berita utama di Indonesia bulan lalu selepas kapal persiaran mewah Equanimity yang dikaitkan dengan Low disita di Telok Benoa, Bali, sebagai sebahagian daripada tuntutan DOJ bagi perlucutan hak atas aset 1MDB.

Ditanya mengenai dakwaan DOJ bahawa kapal mewah itu dibeli menggunakan dana yang disalurkan daripada 1MDB, Arul Kanda menegaskan pendirian syarikat itu yang telah melalui proses timbang tara penyelesaian dengan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (IPIC) untuk pembayaran AS$ 3.5 bilion yang telah dibuat 1MDB kepada Aabar Investments PJS Ltd yang diperbadankan di Kepulauan Virgin British (Aabar BVI).

"Kami tidak tahu apa yang Aabar BVI lakukan dengan wang itu dan kami tidak mahu tahu.

"Sama ada kapal persiaran mewah, lukisan, filem Wolf of Wall Street, tiada kena mengena dengan kami. Ini pendirian guaman kami di bawah undang-undang," kata Arul dipetik sebagai berkata demikian.

IPIC mendakwa anak syarikatnya Aabar Investments PJS yang beribu pejabat di Abu Dhabi tidak mempunyai kaitan dengan Aabar BVI.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada awal bulan lalu mengatakan siasatan berterusan ke 1MDB tidak menunjukkan sebarang kaitan antara syarikat itu dengan Low.

Fuzi juga berkata siasatan polis ke atas 1MDB dibuat selepas penemuan oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Parlimen pada 7 April 2016.

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB.

Najib pula bertegas beliau tidak terlibat terhadap mana-mana kekurangan 1MDB yang dikenalpasti dalam laporan PAC.


Berita Berkaitan: 'Laporan PAC tak kata saya curi wang 1MDB'


 

Lihat Komen
ADS