Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UPKO meluat, dakwa Dr M hina Sabah dan Sarawak
Diterbitkan:  Apr 3, 2018 5:09 PM
Dikemaskini: 7:31 PM

Presiden, United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO), Datuk Wilfred Madius Tangau menzahirkan rasa meluat atas dakwaan kenyataan Dr Mahathir Mohamad berhubung alasan Sabah dan Sarawak ketinggalan daripada segi pembangunan berbanding Semenanjung.

"Kami berasa meluat dengan penghinan terbaharu Tun Mahathir terhadap rakyat Sabah dan Sarawak apabila beliau cuba memberi alasan mengapa pembangunan Sabah dan Sarawak ketinggalan berbanding negeri di Semenanjung.

"Ketika menjadi perdana menteri, Mahathir berkata salah satu puncanya adalah kerana rakyat Sabah dan Sarawak pemalas dan mempunyai mentaliti rendah dengan memilih jalan mudah untuk berjaya.

"Mahathir, anda adalah salah. Rakyat Sabah dan Sarawak pandai berikhtiar," kata Madius dalam suatu kenyataan media hari ini.

Beliau juga mendakwa Mahathir mengabaikan Sabah dan Sarawak pada zaman pentadbiran beliau.

Lampias dendam terhadap PM

"Tindakan Mahathir mengabaikan Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh 22 tahun beliau berkuasa tidak boleh dinafikan sesiapa, terutama ketika Tun Mahathir menggunakan alasan menghina dalam usahanya melampiaskan dendam terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak," kata beliau.

Madius juga mendakwa Mahathir memberi justifikasi untuk projek IC di Sabah.

"Bertambah parah, Tun Mahathir turut memberi justifikasi untuk meneruskan projek IC dan tidak pernah atau tidak akan meminta maaf terhadap episod itu yang menyebabkan banyak masalah sosio ekonomi kepada Sabah," kata Madius yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) 2014 mengenai pendatang haram di Sabah membuat kesimpulan, antara lain, bahawa "Projek IC" yang begitu banyak diperkatakan, mungkin wujud di negeri itu.

Siasatan mengesahkan bahawa projek itu didakwa digunakan oleh kakitangan awam untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin, menyebabkan lonjakan penduduk di negeri ini.

Pengerusi HARAPAN ketika melawat Sarawak pada hujung tahun lalu berkata berlaku penghakisan hak negeri itu apabila kerajaan merangka Akta Laut Wilayah 2012.

Menurut Seksyen 3(3) akta itu, jarak lebar kawasan laut yang berada di bawah kuasa negara adalah 12 batu nautika dari pantai - selaras dengan undang-undang antarabangsa - manakala negeri hanya berkuasa untuk jarak 3 batu nautika.

Bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada 2016 berkata, kerajaan negeri akan meminta kerajaan persekutuan meminda seksyen itu yang menurutnya digubal tanpa rundingan dengan negeri dan melanggar perlembagaan.

"Tidak ada pertimbangan dengan Sabah, Sarawak dan Terengganu. Bilakah akta ini digubal? Ia digubal pada 2012, ketika itu perdana menteri adalah Najib," kata Mahathir.

Lihat Komen
ADS