Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Dr M: Hak S'wak terhakis di bawah Tun Razak dan Najib
Diterbitkan:  Sep 25, 2017 12:01 AM
Dikemaskini: 5:29 PM

Sehari sebelum ketibaan Tun Dr Mahathir Mohamad di Sarawak, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketika pentadbiran bekas perdana menteri itulah banyak hak negeri yang terhakis.

Namun dalam program sulungnya sebagai pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) di negeri itu malam ini, Dr Mahathir menafikan tuduhan itu dan mendakwa hak Sarawak - terutamanya dalam soal minyak - terhakis ketika pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein dan anaknya, Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir membangkitkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang menyaksikan Sabah dan Sarawak memberikan hak petroleumnya kepada kerajaan pusat dengan royalti lima peratus sebagai tukaran.

"Pada 1974, ketika Akta Pembangunan Petroleum diluluskan, saya bukan perdana menteri. Kononnya saya yang tukar, (itu) tidak betul.

"Kita ada rekod dalam hansard (parlimen)... Perdana menteri ketika itu ialah Tun Razak. Bukan saya yang tukar, Tun Razak yang tukar," katanya dalam ceramah di Kuching, sebentar tadi.

Mahathir berkata, penghakisan hak negeri itu diteruskan lagi apabila kerajaan merangka Akta Laut Wilayah 2012.

Menurut Seksyen 3(3) akta itu, jarak lebar kawasan laut yang berada di bawah kuasa negara adalah 12 batu nautika dari pantai - selaras dengan undang-undang antarabangsa - manakala negeri hanya berkuasa untuk jarak 3 batu nautika.

Bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem tahun lalu berkata, kerajaan negeri akan meminta kerajaan persekutuan meminda seksyen itu yang menurutnya digubal tanpa rundingan dengan negeri dan melanggar perlembagaan.

"Tidak ada pertimbangan dengan Sabah, Sarawak dan Terengganu. Bilakah akta ini digubal? Ia digubal pada 2012, ketika itu perdana menteri adalah Najib," kata Mahathir.

Namun beliau turut mengakui tidak berbuat apa-apa untuk menilai semula Perjanjian Malaysia 1963 sepanjang 22 tahun mentadbir negara.

"Saya tidak tukar perjanjian tapi saya berpendapat ia perlu dirunding semula antara semenanjung, Sabah dan Sarawak supaya lebih adil...(Masalah) ini berlaku di zaman saya juga," katanya kepada kira-kira 10,000 hadirin.

Ketika program itu, HARAPAN turut membentangkan rangka manifesto mereka untuk Sarawak dengan merujuknya sebagai "wilayah", bukannya "negeri".

Ia memberi jaminan kepada lima hak, iaitu hak untuk sebuah kerajaan wilayah, hak untuk petroleum dan pulangan yang adil, hak untuk pembangunan tanah dan kemudahan asas, hak untuk pendidikan bermutu dan hak untuk pembangunan ekonomi dan pemberdayaan wanita, remaja dan golongan minoriti.

Rangka manifesto dibaca Ketua DAP Sarawak merangkap Pengerusi HARAPAN Sarawak Chong Chieng Jen.

Chong turut berkata HARAPAN akan membentangkan perincian manifestonya pada masa terdekat.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS