Paling Popular
Terkini

PULASAN l Biasanya sesuatu teka-teki digemari dan menyeronokkan. Lebih daripada itu ia adalah cara untuk merangsang otak seseorang supaya berfikir secara kreatif.

Tetapi berbeza halnya dengan teka-teki yang tidak perlu dan membuang masa di negara ini. Biasanya empat tahun sekali teka-teki ini akan mula ditanyakan.

Jawapan yang ada pula adalah bermacam ragam.

Tidak seperti teka-teki biasa, teka-teki empat atau lima tahun sekali ini tidak mempunyai jawapan yang rasmi atau muktamad.

Sekurang-kurangnya tidak pada kebanyakan orang kecuali seorang dua individu yang entah dari mana mendapat hak eksklusif mengenainya.

Ia adalah teka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum (PRU). Bahawa hak mengundi yang diberikan perlembagaan negara kepada setiap rakyat Malaysia yang layak seolah-olah adalah sangat penting bagai ternafi dengan amalan yang kuno ini.

Tiket hangus

Tidak dapat dipastikan sampai bila amalan yang tidak matang ini akan bertahan dalam amalan negara yang dikatakan demokrasi ini.

Namun setakat ini nampaknya ada seorang dua manusia yang kelihatan seronok benar bermain-main dengan teka-teki tarikh PRU ini. Mungkin ia adalah salah satu kenikmatan yang berada pada maqam tertinggi yang jarang-jarang dapat diperolehi.

Masalahnya ia menyusahkan ramai orang. Berbanding dua tiga orang yang sudah tahu - lebih kurang - tarikh PRU akan diadakan, berjuta-juta lagi umat Malaysia ini terpaksa berkira-kira untuk melaksanakan rancangan masing-masing.

Sesetengahnya merancang untuk bercuti, manakala yang lain mungkin terpilih untuk mengerjakan haji atau menempah pakej umrah.

Jika tersilap langkah, tiket yang dibeli akan hangus. Atau untuk mengelak kerugian yang sia-sia mereka pun 'terbanglah' dengan hati yang terkilan.

Adakah dua tiga orang yang tahu jawapan - dan gemar benar - teka-teka itu berfikir tentang nasib dan kesukaran orang lain?

Semakan rambang menunjukkan beberapa negara serantau tidak kedekut atau keanak-anakan dengan merahsiakan tarikh PRU masing-masing.

Indonesia misalnya sudah menetapkan 17 April 2019 sebagai tarih untuk rakyatnya melakukan PRU, manakala Singapura memilih 13 Mac 2019.

Filipina pula akan memilih pada 13 Mei 2019, malah Kemboja juga menetapkan 29 Julai ini untuk mengadakan PRU di negara itu.

Thailand pula - berdasarkan kenyataan perdana menterinya pada Mac baru-baru ini - akan mengadakan PRU pada 19 Feb tahun depan.

Memanglah bukan Malaysia ini saja yang tidak menetapkan tarikh PRU lebih awal. Ada negara lain yang kira-kira sama macam kita.

Myanmar misalnya masih belum mengumumkan tarikh PRU mereka walaupun jangkaan ramai ialah pada 2020. Laos pula kali terakhir mengadakan PRU pada 20 Mac 2016. Tarikh akan datang belum diumumkan lagi.

Berbaloi juga untuk dinyatakan dalam PRU dua tahun lalu itu sebanyak 149 kerusi dipertandingkan. Daripada jumlah itu 144 dimenangi oleh parti kerajaan, Parti Revolusi Rakyat Laos, manakala lima lagi calon bebas.

Ada 3.65 juta pengundi berdaftar di Laos dan parti yang berfahaman Lenin-Marxis itu mendapat sokongan 97.94 peratus undi.

Ia kira-kira sama seperti PRU yang diadakan oleh Hosni Mubarak semasa dia masih bertakhta sebagai presiden Mesir dulu.

Fitrah anak jantan

Sehari dua ini kita semakin dipaksa untuk mencari jawapan teka-teki yang sia-sia itu. Bukanlah teruja sangat untuk mengundi tetapi ia memberi banyak kesan kepada kehidupan seharian.

Seolah-olah masalah yang sedia ada tidak mencukupi, atau kita tidak ada tanggungjawab lain, maka rakyat dibiar terkapar-kapar mencari jawapan kepada tarikh PRU akan datang.

PRU akan datang ini bukanlah kali yang kelima, apa lagi yang pertama. Ia adalah PRU yang ke-14.


Baca Zaman edan berjemaah


Pergulatan politik bukan sekadar pertembungan strategi dan beradu keberanian. Ia adalah tempat meletakkan maruah dan membuktikan kejantanan.

Perlu difahami, seorang pendekar sejati yang mencabar lawannya bertarung akan menetapkan tarikh dan tempat untuk berpencak.

Beradu kekuatan dengan lawan yang tidak diberikan ruang secukupnya dan menyerang mereka secara mengejut adalah sifat yang bertentangan dengan fitrah anak jantan.

Untuk makluman, jika anda belum faham, amalan merahsiakan tarikh PRU itu bukanlah perangai matang dan sejahtera yang layak disokong waima demi faktor moral sama sekali.

Tanpa bantahan disuarakan, mungkinkah kita sedang mengumpul pahala banyak-banyak sebab bersabar kerananya?


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS