Paling Popular
Terkini

PULASAN | Andainya Ronggowarsito masih ada, kita boleh menjangkakan dia akan ketawa terbahak-bahak dalam tempoh sebulan dua ini.

Dan kita yang hidup pada waktu ini akan segera terkenang kepada pujangga besar Jawa itu. Bahawa melihat kepelikan demi kepelikan yang berlaku sejak akhir-akhir ini membuat kita teringat kepada syair Zaman Edan karya pujangga Ronggowarsito.

Edan yang sedang berlaku sekarang entah setara atau lebih dahsyat dengan apa yang disaksikan Ronggowarsito lebih 170 tahun lalu.

Ini adalah waktu kita melihat keanehan yang merata-rata dan perlukan keimanan yang teguh untuk kekal menjadi waras.

Masakan tidak bergegar ketakwaan kita apabila berdepan dengan sekian banyak mehnah dan tribulasi yang datang satu demi satu.

Mula-mula begitu ramai wakil rakyat muncul dengan penuh ramah dan tamah selepas empat tahun lalu mereka menghilangkan diri atas nama kesibukan.

Munculnya mereka pula dengan transformasi yang cukup besar.

Terpahat dalam sejarah

Tiada lagi gaya berjalan seorang yang berhormat, tiada lagi kereta mewah bercermin gelap. Juga tiada lagi pakaian berjenama mahal yang harganya sama dengan kos dapur warga marhaen selama 30 hari.

Segala-galanya kini adalah benar. Bukan cubaan atau khayalan, apa lagi khabar palsu kerana tidak mungkin kita mahu memperjudikan nasib dan masa depan demi secebis berita tidak benar.

Semalam, Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan. Tahniah buat kerajaan yang peka dan prihatin dengan ancaman khabar-khabar palsu yang banyak bergentayangan di negara kita akhir-akhir ini.

Langkah kerajaan itu bukanlah edan. Dan sokongan yang diberikan oleh anggota parlimen kepadanya juga bukan aneh. Kecuali penegasan salah seorang pemimpin kanan PAS.

Tarikh 2 April 2018 wajar diingati sebagai salah satu detik sejarah penting dalam politik negara. Ia bukanlah sangat tentang sokongan anggota parlimen PAS kepada RUU kerajaan.

Sebelum ini pun ada menteri yang menyokong anggota parlimen PAS bawa RUU persendirian untuk dibentangkan di Dewan Rakyat. Ia adalah sejarah yang lebih besar.

Apa nasib kepada janin berlabel RUU persendirian itu sekarang adalah perkara kedua.

Malaysiakini melaporkan selepas PAS menyokong RUU Antiberita Tidak Benar, Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali memberi jaminan akta itu nanti akan dilaksanakan dengan adil.

"PAS yakin akan memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14. PAS memberi jaminan akta ini akan dilaksanakan secara telus dan adil.

"Apa-apa akta yang baik akan menjadi (lebih) baik apabila ia diuruskan pemerintah yang baik," katanya.

Demokrasi paling sempurna

Khairuddin bukan orang sembarangan. Dia ialah salah seorang pemimpin paling dihormati oleh orang ramai, terutama penyokong PAS.

Selain terpilih menjadi anggota Jawatankuasa Pusat PAS beliau juga ada dalam Majlis Syura Ulama. Lebih daripada itu Khairuddin ialah bendahari Dewan Ulama PAS. Selain bergelar Datuk, Khairuddin ada ijazah doktor falsafah pula.

Dia juga seorang tokoh yang tegas sehingga pernah mahu menyekeh kepala mufti. Mujurlah ada sepinggan martabak buat penyejuk jiwa bersama.

Cuma dalam semakan terakhir, beliau menganggotai sebuah parti yang khabarnya masih berstatus pembangkang.

Begitu juga dengan nasib laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mencadangkan sempadan pilihan raya disusun semula supaya sistem demokrasi negara berlangsung dengan sempurna.

Sebelum ia diluluskan sesetengah ketua Umno bahagian sudah mula bergerak dan menganjurkan pelbagai program di kawasan yang sebelum ini bukanlah terletak di bawah wilayahnya.

Kadang-kadang program itu diadakan di sekolah juga. Ia adalah tempat yang pada asalnya untuk anak-anak kita belajar ilmu pengetahuan tanpa pengaruh ahli politik.

Bagaimanapun kemasukan ketua-ketua bahagian itu ke sekolah untuk mengadakan program juga tidak boleh dipersalahkan kepada mereka.


Baca Ghairah menanti bendera bulan berkibar megah


Kesalahan sebenar wajar diletakkan kepada pihak atau individu yang mula-mula membudayakan menjemput ahli politik untuk merasmikan sesuatu program di sekoleh.

Siapa yang memulakan atau mencetuskan idea itu tidaklah dapat diketahui, tetapi kejinya amalan berkenaan memang tidak dapat dinafikan lagi.

Namun secara keseluruhannya kita semua terdedah kepada laporan khabar palsu. Sedangkan PAS yang dianggotai golongan ulama dan cendekiawan tersohor pun difitnah, apa sangatlah organisasi lain atau orang awam seperti kita kini.

Fitnah pil kuda, misalnya, atau larangan azan di sesebuah negeri yang kita tidak suka adalah antara asam garam yang perlu didepani dari semasa ke semasa.

Justeru akta yang menghukum khabar tidak benar itu adalah pelengkap kepada satu lagi peruntukan yang sudah berkuat kuasa sebelum ini - iaitu akta yang menjaga hati dan perasaan kebanyakan orang daripada disakiti (Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia).

Sementara menunggu parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum dijalankan, bersedialah untuk melihat satu demi satu kejadian pelik berlaku di depan mata.

Semoga iman kita diperteguh oleh tuhan.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS