Paling Popular
Terkini

PRU14 | Datuk Seri Shahidan Kassim berkata antara perkara pertama yang akan dilakukan sekiranya dipilih sekali lagi menjadi menteri besar Perlis ialah menghapuskan amalan berpuak-puak di kalangan ahli Umno di negeri itu.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Perlis selama 13 tahun berkata tugas seorang pemimpin adalah menghentikan amalan “geng” dengan pendekatan kasih sayang.

Mengakui wujudnya kumpulan tertentu dalam organisasi secara umum Shahidan berkata ia mesti ditamatkan demi kebaikan semua pihak.

“Kita tak mahu ada geng. Semua tempat ada geng, tapi pemimpin yang baik dia kena matikan kewujudan geng. Dia kena hapuskan geng dengan pendekatan kasih sayang,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Shahidan pernah menjadi menteri besar Perlis mulai 1995 hingga 2008 sebelum diletakkan sebagai calon untuk kerusi parlimen Arau para PRU ke-12.

Perebutan kerusi Arau menjadi satu daripada tumpuan ramai dalam PRU berkenaan kerana ia mempertemukan dua nama besar dalam negara ini.

Shahidan dicabar bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia yang kemudian dilantik menjadi mursyidul am PAS Datuk Dr Haron Din.

Hentam bertahun, maaf serta-merta

Di sebalik populariti Haron, Shahidan mengekalkan kerusi Arau di tangan BN dengan majoriti 1,371 undi.

Walaupun saiz negeri itu kecil Perlis pernah dilanda krisis kepimpinan beberapa tahun lalu melibatkan beberapa kumpulan dalam Umno.

Ia disebut-sebut membawa kepada perpindahan Shahidan daripada menjadi anggota dewan undangan negeri kepada anggota parlimen sebagai jalan tengah.

Malah terdapat juga gerakan anti-Shahidan di bahagian Arau selepas beliau tidak lagi memegang jawatan menteri besar.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini itu - tanpa menamakan mana-mana pihak - Shahidan berkata beliau telah memaafkan mana-mana pihak yang menghentamnya sebelum ini.

Katanya keadaan itu dilakukan dengan perasaan terbuka walaupun ada yang hairan apabila beliau tidak membalas dendam walaupun mampu berbuat begitu.

“Orang hentam saya bertahun-tahun, saya boleh maafkan serta merta.

"Ada orang tanya, kenapa tak balas dendam tapi saya tak mahu sebab kalau kita balas dendam, kehidupan kita tak tenang habis," katanya.

Menurut beliau apa yang dilakukan itu selaras dengan anjuran al-Quran dan sunnah.

Untuk rekod baru-baru ini wujud sebuah akaun Facebook diberi nama 'Support Dato Seri Shahidan Kassim for Perlis Real MB' dipercayai untuk menyokongnya agar kembali menjadi menteri besar.


Baca MB Perlis kali kedua - Shahidan cari reda Allah


Laman sosial itu kini menerima like sebanyak 4,820 dan 4,813 orang yang mengikuti Facebook berkenaan.

Sementara itu ketika ditanya antara kenangan paling manisnya mentadbir Perlis Shahidan berkata ia adalah kejayaan membina Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) walaupun keadaan ekonomi ketika itu dalam keadaan kurang baik.

Katanya, apa yang paling penting Perlis harus dibangunkan dan berdiri seiring dengan negeri-negeri lain.

“Saya buat macam-macam (untuk Perlis). Paling manis dapat membina sebuah UniMAP selain projek lebuh raya, kolej matrikulasi yang kita dapat laksanakan semasa peruntukan tidak mengizinkan.

“Dan Perlis mesti bangun seperti negeri-negeri lain,” katanya.

Shahidan turut mengakui beliau sangat selesa memberi khidmat kepada rakyat Perlis.

Namun katanya buat masa ini terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meletakkan beliau bertanding di mana-mana kawasan.

“Saya sedia beri khidmat dimana-mana sahaja. Tapi kalau tanya saya mana bagus, saya lihat tempat yang saya kerja ini bagus kerana dapat beri khidmat (Perlis). Mungkin bagi sesetengah orang tak berapa minat kerja tu tapi saya minat,” katanya.

Lihat Komen
ADS